8/31/2009

SAMBUTAN MERDEKA SKBB !!



Merdeka ! Merdeka ! Merdeka !

Laungan penuh bersemangat oleh anak-anak merdeka SKBB sempena sambutan 52 tahun merdeka.Hujan yang turun seawal pagi tidak mematahkan semangat anak-anak ini untuk terus merayakan sambutan merdeka.
Moga-moga negara kita terus merdeka ...merdeka dan bebas dari penjajahan semula bentuk baru yang menjajah minda kita semua !
Merdeka sebenar apabila kita berjaya melepasi titian siratal mustaqim dan menuju ke syurga di akhirat sana !!!

8/28/2009

ORANG BARU !

. Mawaddah Meor Nurul Azmi

.. Wan Abdul Muhaimin

. Beberapa hari sebelum puasa baru-baru ini, keluarga menerima dua orang ahli baru.Adik iparku Mohd Azizi yang mendirikan cahayamata dengan Syarifah Intan Syuhada menerima cahaya mata pertama diberi nama Wan Abdul Muhaimin manakala anak saudara ku Mior Nurul Azmi pula yang mendirikan rumahtangga dengan Sarah mendapat seorang puteri yang diberi nama Mawaddah. Mudah-mudahan menjadi anak yang soleh dan solehah...

8/25/2009

TAHNIAH JUARA DEBAT !!




Nur Hazlin Mat Musak...suatu nama yang aku ingati daripada sekian banyak anak muridku.


Anak murid yang lemah lembut, ayu tetapi sedikit pelat sebab tak boleh sebut huruf r . Sekitar tahun 95 aku memilihnya sebagai salah seorang ahli pasukan debat sekolahku.Kawan-kawannya mengejek " eleh... pelat nak masuk debat" .Dia hanya menjegilkan matanya yang bulat ke arah kawan-kawannya.Aku giat melatih untuk peringkat daerah.Syukur ,mereka menang .Hazlin pun balik dan terus masuk ke kelas sambil tangannya menghentak meja dan berkata " huh .. sapa kata pelat tak boleh menang ? " Terlopong mulut kawan-kawannya.

Mereka terus menang di peringkat suku akhir dan separuh akhir menentang sekolah-sekolah lain yang hebat-hebat.Tak sangka jugak aku , minat dalam bidang pidato dan bahas membawa anak-anak muridku pergi jauh. Pada peringkat akhir, aku tersenyum puas apabila mereka diumumkan sebagai Juara Selangor .Gembira tak terkata , cuma tak pulak pertandingan ini dilanjutkan ke peringkat kebangsaan.Kecewa aku.

Aku bertukar sekolah manakala ia melanjutkan pelajaran ke Sek Men. Seri Puteri, KL. Hubungan terputus sehinggalah suatu hari aku terbaca dalam akhbar Nur Hazlin menjadi juara PIDATO SEK MEN PERINGKAT KEBANGSAAN.Terpaku sekejap, tak sangka usaha aku menggilap bakatnya dahulu natijahnya sehingga ke peringkat ini.

Suatu pagi ketika berada di makmal komputer sekolah , Fauzi memberitahu aku ada mak we nak jumpa ...cun katanya ! Siapa pulak getus hatiku ! Terkejut aku, rupa-rupanya Hazlin muncul di muka pintu dengan senyumannya. "Cikgu, sebenarnya saya nak bagitahu ni ... esok saya akan berangkat ke Australia ... " "Tahniah Lin " kataku ."Tolong doakan saya ya cikgu..." katanya.Setelah berbual beberapa minit ia pun pergi.

Lebih kurang setahun kemudian, aku terlihat kelibatnya di pasar Bestari Jaya, antara percaya dengan tidak aku melihatnya berpakaian jubah.Tak sempat aku nak berjumpanya.Baru-baru ini aku sempat berbual panjang dengan ayahnya pada suatu majlis kenduri kahwin.Ia bercerita panjang tentang anak kesayangannya itu. Ia mengucap syukur perubahan pada Hazlin. Mulanya di Australia ,ia terkena tempias cultural shock tetapi kehabisan wang menyedarkannya.Ia berjinak dengan kumpulan usrah dan terus kekal dengan imej dakwah.Pulang ke Malaysia ia bertugas di PETRONAS Sarawak dan hasil usaha naqib usrahnya akhirnya ia menamatkan zaman bujangnya dengan seorang HAFIZ AL QURAN yang masih belajar di Universiti Jordan.

Terkejut ia melihat kedatanganku. Dengan senyum simpulnya ia memperkenalkan aku kepada suaminya .Masih peramah seperti dahulu dan masih ayu sepertimana HAZLIN yang aku kenal ketika berusia 10 tahun ! Selamat berbahagia Lin !

GENIUS SEORANG HAFIZ !!


Kisah yang ingin dinukilkan di sini adalah tentang seorang anak yang belajar hafiz al quran sejak kecil.Sekitar tahun 80an ibu bapa anak ini bekerja sebagai tukang masak di Balai Dakwah Jeram.Anaknya dimasukkan ke kelas hafiz al quran sejak kecil iaitu seawal tujuh tahun .Maka tidaklah ia belajar di sekolah biasa dan tidak bolehlah ia membaca rumi.Berkat ketekunan anak ini, maka iapun menjadi hafiz al quran dalam usia sepuluh tahun.Sejuk hati emak dan ayahnya.Sedar akan kekurangannya yang tidak boleh membaca , iapun belajar sendirian mengeja dan membaca buku kakaknya.Lama kelamaan ia boleh membaca dengan lancar walaupun lemah dalam menulis.

Tidak lama kemudian, keluarga itu balik ke negeri mereka manakala ia meneruskan pengajiannya di beberapa buah sekolah pondok .Kemudian ia menyambung mendalami ilmu agama dan Bahasa Arab di pondok di Pattani ,Thailand.Lebih kurang 4 tahun berada di Pattani, kemudian ia balik dan mula terfikir untuk menyambung pengajian di sekolah menengah biasa.

Dalam pada itu, hampir setiap Ramadhan ia dijemput untuk mengimami solat terawih di masjid-masjid di sekitar Selangor, Kelantan dan Pahang.Bacaannya yang mendayu-dayu sangat mententeramkan hati jamaah yang bersolat


Dengan persetujuan keluarga ia bersekolah menengah di Parit Buntar dan terus memasuki tingkatan empat. Ajaibnya , dalam lebih kurang setahun setengah belajar , ia muncul sebagai pelajar terbaik SPM di sekolah tersebut mengalahkan pelajar yang bertahun-tahun belajar dari sekolah rendah hinggalah menengah.
Dengan keputusan tersebut , ia mendapat tawaran belajar di KISDAR ( KUIS sekarang ).Di sana ia muncul sebagai pelajar terbaik dan mendapat ANUGERAH DEKAN. Hasil keputusan cemerlang beliau , Universiti Al Azhar memberikan tawaran kepadanya melanjutkan pelajaran di sana. Lalu terbanglah ia ke sana dengan bantuan kewangan PZS dan MAIK.


Sekali lagi , ia berjaya mendapat ANUGERAH DEKAN di Al Azhar dan kini beliau sedang menyambung pengajiannya di peringkat Master !
Kalau ditimbang dengan akal yang waras , seperti tidak logik anak yang lambat baru boleh membaca, tidak bersekolah rendah, setahun belajar terus cemerlang SPM dan akhirnya terbang ke Al Azhar.Itulah kuasa Allah mempermudahkan menguasai ilmu-ilmu yang lain setelah menguasai Al Quran

Syabas dan tahniah buat adik iparku Mohd Azizi bin Che Yaacob. Kejayaan beliau diikuti oleh adiknya yang juga berjaya menjadi hafiz setelah tamat pengajian di Maahad Tahfiz Al Quran Kuala Kubu.


Apa yang aku perhatikan , keberkatan dari mempunyai dua orang anak yang hafiz ini , rezeki bapa dan emak mertuaku melimpah ruah . Dari kehidupan yang miskin di kampung , kini bergelar imam di Masjid Bukit Jelutong,Shah Alam, emak mertuaku mengusahakan catering dan kini mereka mempunyai 7 buah kereta yang disewakan untuk pelajar Universiti Malaysia Kelantan.
Pengajarannya ...... kepada ibu bapa yang takut menghantar anaknya menjadi hafiz , fikir-fikirkanlah . Rezeki telah Allah janjikan dan syafaat untuk keluarga terdekat di akhirat kelak hasil mujahadah
menghafal Al Quran ini !


Insyaallah , anak-anakku akan menyusul menjadi hafiz selepas ini mengikut jejak langkah bapa saudaranya !

Awas pelaku maksiat di Selangor !!



Penguatkuasaan enakmen syariah di Selangor melalui dasar baru membenarkan pegawai masjid untuk menahan orang Islam yang minum arak dan tidak berpuasa "boleh dimulakan pada bila-bila masa" selepas menerima kad kuasa jabatan agama.Seorang imam yang diberikan kuasa itu berkata, taklimat berkaitan prosedur dan kaedah penahanan pelaku kedua-dua kesalahan tersebut telah diadakan .

Imam 2 Masjid Jalan Kebun, Klang, Mohd Hafiz Mohd Hussain berkata, dalam taklimat sehari di Masjid Negeri di Shah Alam, kesemua imam dimaklumkan mengenai pendekatan baru itu."Kita juga diberitahu, kad kuasa telah siap dan boleh diambil pada bila-bila masa sahaja di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)," katanya.Exco hal-ehwal Islam Selangor, Datuk Dr Hasan Ali semalam mengumumkan nazir, imam, bilal dan siak di lebih 370 masjid di negeri berkenaan diberikan surat kuasa untuk membantu menguatkuasa Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.Surat kuasa itu dilaporkan telah diberikan dua minggu lepas.

Kesalahan yang diberi penekanan untuk dibanteras pada bulan Ramadhan ini antaranya makan, minum dan menghisap rokok di khalayak ramai - kesalahan bawah Seksyen 19 enakmen tersebut.Difahamkan, pentadbir masjid berkaitan turut diberikan hak menguatkuasakan kesemua kesalahan mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, termasuk menasihati, menegur dan menangkap penzina, pelacur dan pasangan berkhalwat.

8/23/2009

Menuju kesempurnaan puasa !

Salam ramadhan untuk semua.
Syukur kerana kita dipanjangkan usia bertemu lagi di ramadhan al mubarak pada tahun ini.
Bacalah beberapa peringatan dari imam Al Ghazali supaya dapat menambahkan lagi kekuatan untuk kita menjalani ibadah puasa .

Imam Al-Ghazali telah menggariskan kewajipan-kewajipan batiniyah puasa itu, antara lain seperti berikut:


1.Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pemandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, serta melalaikannya daripada mengingati Allah s.w.t.
2.Memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata ria’.
3.Memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah, Allah s.w.t. telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud: “Mereka sangat suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram.”(Surah Al-Maidah:42)
4.Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut daripada makan makanan syubhah waktu berbuka puasa. Kerana apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan yang halal, kemudian bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram.
5. Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci Allah s.w.t. daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.

8/17/2009

SEKEJAPNYA 4 TAHUN !!

Bersama isteri tercinta .......
Bersama teman rapat..Ustaz Shamsul Pangkor

Bersama keluarga yang meraikan kejayaanku.

Suasana di dewan konvo ....


Syukur, aku boleh menarik nafas lega setelah selesainya majlis konvokesyenku di USM.Rasa macam tak percaya pulak semasa aku menaiki podium untuk mengambil skrol dari pro canselor.Begitulah cepatnya masa berlalu, dalam tak sedar selesai pengajianku.Sungguhpun begitu 4 tahun bukanlah sesingkat masa.Bergelut dengan tugasan seharian di sekolah , komitmen terhadap keluarga, berbagai jawatan yang aku pegang secara suka rela maupun paksa rela semuanya menjadi rencah dalam perjalananku bergelar graduan USM.

Mengalir juga air mataku tatkala keluar dari dewan konvo tatkala melihat wajah isteri,anak-anak serta ibu dan bapa mertuaku. Kejayaanku kejayaan mereka jua ... cuma terimbau juga akan kata-kata pro canselor " ingat jasa kedua ibu bapa dan sayangi mereka ....." sedangkan kedua-dua ibu bapaku telah lama pergi !

Buat anak-anak yang disayangi, along, pipi, acik dan yuni , aku harapkan supaya kejayaanku ini menjadi motivasi dan penbakar semangat supaya lebih berjaya dariku pada suatu hari kelak. Buat kawan-kawan yang sambung belajar tu dan masih bergelut especially Citratanjung , Anak Banjar , dan Puan Hajjah teruskan perjuangan anda. Kepada Cintalaila terima kasih atas budi baik anda memberi tunjuk ajar dan bahan-bahan padaku.Terima kasih semua !

8/14/2009

KEMATIAN PASTI DATANG !



Suatu subuh aku terjaga dari tidur kira-kira jam 5.30 pagi.Aku seolah-olah dikejutkan oleh mimpiku sebentar tadi.Aku bermimpi, rakan akrabku di kampung iaitu Zamri atau gelarannya Ie Kontin yang telah meninggal dunia lebih kurang enam bulan lepas datang memanggilku dan memelukku di hadapan kawan-kawan lain yang ramai.
Aku terus duduk termenung dan memikirkan tentang tafsiran mimpiku.Fikiranku kacau dan rasa bimbang mula datang ke benak fikiran.Satu perasaan yang tak pernah aku rasai sebelum ini menerpa .Segera aku ke bilik air untuk mandi cadangnya tetapi aku rasa seolah-olah aku insan yang dipilih izrail untuk bertemu sakaratul maut.Aku terus menggeletar di dalam bilik air , terasa seolah-olah izrail sedang berada disisiku,dan yang pasti aku amat cemas dan terasa-rasa izrail akan mencabut nyawaku di dalam bilik air.aku tak pernah merasai suasana secemas ini sebelum ini .Aku terlalu takut dan berbagai ingatan menerpa dalam fikiran. Anak, isteri , hutang-hutang ku dan yang pasti dosa-dosaku.
Aku tak jadi mandi, secepat kilat aku berwuduk dan keluar dari bilik air. Aku melihat bapa mertuaku sedang solat sunat.Segera aku tunaikan solat taubat dan memohon ampun atas dosa-dosaku.Masa sangat mengejarku .....cemasnya hanya Tuhan saja yang tau !
Selesai solat segera aku mengejutkan anak-anakku untuk bersolat jamaah bersama bapa mertuaku.Fikiran menjadi reda sedikit seusai solat. Segera aku beritahu bapa mertuaku ....
" saya mimpi dipeluk oleh rakan yang telah meninggal dunia tadi "...Dia terdiam sebentar ,kemudian barulah ia menjawab bahawa mimpi adalah suatu yang benar cuma tafsirannya tidak kita ketahui. Ia mula bertazkirah panjang di atas sejadah menceritakan tentang mimpi rasulullah, nabi Yaakub, kisah nabi Yusuf dan tafsiran di sebalik mimpi tersebut.
Ia membuat kesimpulan bahawa mimpi kita adalah benar cuma tafsirannya yang perlu dipelajari dari orang yang berilmu manakala mimpi dari syaitan pula adalah mimpi ketika kita dalam keadaan tidur yang tidak ikut syariat dan kebiasaan selepas subuh.Sungguhpun begitu tafsirannya sangat jauh.Ia mengumpamakan kisah nabi Yusuf dalam penjara bersama dua orang banduan yang bermimpi berlainan dan akhirnya menerima nasib seperti mana yang ditafsir oleh Nabi Yusuf.
Lapanglah sedikit dadaku, syukur kerana izrail masih belum mencabut nyawaku sehingga kini .Hikmahnya mimpi itu menyedarkan aku bahawa aku jarang-jarang mengingati saat yang pasti tiba . Rupa-rupanya izrail mencabut nyawa penasyid Asri Ibrahim yang namanya hampir menyerupai namaku tetapi umurnya sama dengan umurku !! Lantas ... berapa lama lagi aku akan hidup ? Bersediakah aku menuju ke alam barzakh ?



8/05/2009

LAMBAIAN KONVO

LAMBAIAN KONVO


Tak sabar rasanya nak menunggu 13 Ogos ini .Detik yang ditunggu oleh setiap orang yang bergelar mahasiswa.Dah terbayang saat aku memakai jubah USM dan rasmilah aku sebagai seorang graduan. Pejam celik pejam celik dah empat tahun aku kat USM walaupun hanya sebagai pelajar PJJ.Kepuasan tetap dinikmati, suasana belajar di kampus, berkawan dengan rakan-rakan dari seluruh Malaysia , kenangan di Penang , menyambut hari raya haji bersama orang Arab dan Afrika di kampus USM tetap segar dalam ingatan. Semoga kejayaan aku menggenggam segulung ijazah dapat memberi inspirasi dan motivasi kepada anak-anakku untuk berjaya pada masa hadapan.