12/25/2009

CACAT TIDAK MENGHALANG CEMERLANG PMR !!

Pencapaian cemerlang seorang pelajar kurang upaya (OKU)) mendapat 7A dalam PMR mengejutkan pengetua SM Pendidikan Khas Cacat Penglihatan di Setapak, Kuala Lumpur hari ini."Saya terkejut kerana inilah pertama kali pencapaian akademik pelajar meningkat sehinggakan seorang pelajar istimewa tahun ini mendapat A dalam semua mata pelajaran," kata pengetuanya Che Fatimah Che Abdullah.

Hanson Ang Ping Ting berjaya mendapat 7A, manakala dua yang lain Tan Ee Beng dan Mohammad Razlan Ibrahim Mukhtar masing-masing mendapat keputusan 6A.Ang, yang berada di Seremban bersama keluarganya, telah menghubungi sekolah dengan telefon untuk mendapat keputusannya.Che Fatimah turut bergembira kerana 13 daripada keseluruhan 20 pelajar sekolah tersebut yang mengambil PMR tahun ini mencatat kejayaan cemerlang, sekali gus menaikkan pencapaian kecemerlangan sekolah itu kepada 60 peratus berbanding 38.5 peratus pada tahun lepas."

Usaha guru yang gigih dan komited perlu ada untuk mengajar pelajar istimewa kerana mereka memerlukan perhatian yang lebih berbanding pelajar normal," kata Che Fatimah.Di Melaka, pelajar Muhammad Syarifuddin Abu Tahir dari SMK Ayer Molek mungkin rabun jauh tetapi terang hatinya dan hari ini tersenyum bangga apabila memperoleh keputusan 7A dan 1C dalam PMR.

Muhammad Syarifuddin yang mengalami kecacatan itu sejak kecil, sentiasa memerlukan bantuan rakan dan guru ketika belajar dalam kelas."Apabila saya kurang jelas melihat apa perkataan yang guru tulis di papan hitam, saya tidak malu meminta rakan saya untuk membacakannya untuk saya, itulah kebiasaan yang saya lakukan," katanya kepada pemberita.Muhammad Syarifuddin berkata, kertas soalan yang diberikan kepadanya mempunyai tulisan besar berbanding kertas soalan untuk pelajar lain dan itu amat membantunya. BERNAMA

Keistimewaan Hari Asyura !

Dalam bulan Muharram hari yang paling bertuah ialah hari ke-10 atau lebih dikenali dengan nama Hari Asyura' .Pada tahun ini jatuh pada hari AHAD 27 DISEMBER 2009 .

Pada hari tersebut kita disunatkan berpuasa Malah dalam sebuah hadith riwayat Muslim Nabi berpuasa pada 10 Muharram kerana pada hari tersebut diselamatkan Nabi Musa a.s daripada lemas dan juga daripada buruan Firaun.

KELEBIHAN PUASA ASYURA'Baginda bersabda: "Berpuasa sunat pada 10 Muharram akan menghapuskan dosa setahun sebelumnya". Riwayat Muslim.Dari Ibnu Abbas r.a berkata Rasulullah S.A.W bersabda : " Sesiapa yang berpuasa pada hari Aasyura (10 Muharram) maka Allah S.W.T akan memberi kepadanya pahala 10,000 malaikat dan sesiapa yang berpuasa pada hari Aasyura (10 Muharram) maka akan diberi pahala 10,000 orang berhaji dan berumrah, dan 10,000 pahala orang mati syahid, dan barang siapa yang mengusap kepala anak-anak yatim pada hari tersebut maka Allah S.W.T akan menaikkan dengan setiap rambut satu darjat. Dan sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada orang mukmin pada hari Aasyura, maka seolah-olah dia memberi makan pada seluruh ummat Rasulullah S.A.W yang berbuka puasa dan mengenyangkan perut mereka."

BEZAKAN PUASA DENGAN ORANG YAHUDI
Oleh kerana orang Yahudi juga berpuasa pada 10 Muharram maka disunatkan umat Islam berpuasa sejak 9 Muharram lagi bagi membezakan dengan puasa orang Yahudi. Hadith ini dikhabarkan oleh Ibnu Abbas dalam sebuah hadith riwayat Muslim dan Abu Daud.Atau kalau tidak dapat dikerjakan pada 9 Muharram maka boleh juga digandingkan 10 Muharram dengan 11 Muharram.

SEJARAH 10 MUHARRAM
Imam al-Ghazali menyebut dalam kitabnya Mukha syafatul Qulub bahawa pada tarikh tersebut:(1) Terbunuhnya Sayyidina Hussain (cucu Nabi) di Karbala'.
(2) Diterima taubat Nabi Adam a.s.
(3) Dicipta Adam a.s.
(4) Dimasukkan Adam a.s ke dalam syurga.
(5) Dicipta arasy, Kursi, langit, matahari, bulan, bintang-bintang.
(6) Dilahirkan Nabi Ibrahim a.s.
(7) Selamat Nabi Ibrahin daripada api Namrud.
(8) Selamat Musa dan pengikutnya
(9) Lemas Firaun.
(10) Dilahirkan Nabi Isa a.s.
(11) Diangkat Nabi Isa kelangit.
(12) Diangkat Nabi Idris ke langit.
(13) Mendaratnya kapal Nabi Nuh dengan selamat di atas bukit Judy.
(14) Nabi Sulaiman diberi kerajaan yang besar.
(15) Dikeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan Nun.
(16) Nabi Ya'kub dapat melihat kembali selepas daripada menjadi buta.
(17) Dikeluarkan Nabi Yusuf daripada telaga buta.
(18) Disembuhkan Nabi Ayyub daripada penyakitnya.
(19) Hujan yang pertama turun dari langit kebumi.

Semoga dengan sedikit info ini akan menggerakkan lagi hati kita untuk terus beramal kepadaNya walaupun di keadaan yang sibuk dengan sebarang urusan sekalipun...
"Ballighu anni walau ayah ", maksudnya: sampaikanlah kepadaku walau satu ayat...
Sebarkan.

12/23/2009

Waheeda kini berpurdah !!


Lama tidak mendengar kisah tentang penyanyi ini sejak dia mengumumkan persaraannya dari dunia seni sebaik mendirikan rumahtangga dengan penyanyi nasyid dan penceramah bebas, Akhil Hayy Ogos lalu.
Khabarnya, Waheeda kini lebih tenang menjalani kehidupan sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anak tirinya, Maisara dan Sharif yang tinggal bersamanya dan Akhil.
Malah, ketika ditemui pada majlis persandingan mereka di Dewan Guthrie Bukit Jelutong, Shah Alam, akhir Oktober lalu, Waheeda akui kehidupannya kini cukup bahagia di samping menumpukan kepada amalan ibadah.
Terbaru, wanita berusia 30 tahun ini dilihat sudah tampil dengan imej terbarunya - berpurdah. Waheeda dilihat berpenampilan sedemikian sewaktu menghadiri sebuah majlis bersama suaminya, baru-baru ini.
Cuba dirisik kepada empunya badan, Waheeda akui dia kini senang dengan imej sedemikian. Malah, sejak dulu lagi memang penyanyi yang pernah popular dengan lagu Wassini ini sudah menyimpan hasrat untuk berpurdah, cuma ketika itu dia belum berpeluang untuk berbuat demikian.
Malah, Waheeda kedengaran cukup ceria dan melahirkan rasa lega kerana hasratnya itu kesampaian jua.
Tiada siapa memaksa, tetapi apa yang dilakukannya itu datang daripada dirinya sendiri.
Dan berpegang kepada prinsipnya, jika boleh, dia tidak mahu lagi terlibat di dalam sesi fotografi mahupun temubual tentang kehidupannya kini. Kata Waheeda, lebih baik diajukan kepada suaminya saja kerana dia bukan lagi seorang selebriti.
Difahamkan, Waheeda juga bakal melatih anak tirinya, Sharif untuk menyanyi dan mengeluarkan album berjudul Zikirallah.
Ditanya lagi sama ada dirinya kini sudah 'berisi', kata Waheeda, rezeki untuk menimang cahaya mata sendiri masih belum dikurniakan Allah.
Apapun, dia tetap bersyukur kerana dapat mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak tirinya yang juga menghormati dan menyayanginya sebagai ibu sendiri.MSTAR ONLINE

12/13/2009

Bertemu keturunan Syed-Syed Perak !


Majlis silaturrahim idulfitri yang menghimpunkan keturunan jamalullailperak yang telah diadakan di Bota, Parit ,Perak.
Logo Persatuan Kebajikan Asyraaf yang menghimpunkan seluruh Syed Syed di Malaysia.

Semasa majlis perkahwinan anak saudara di Bangsar Jun lalu, aku berbual panjang dengan sepupuku iaitu Syed Alias b Syed Idrus tentang salsilah keluarga kami.Aku mengaku dan berterus terang bahawa aku buta langsung tentang salsilah keluargaku apatah lagi arwah ayah tidak pernah bercerita tentang susur galur keturunan Syed kami.Beliau menceritakan bahawa ada sebuah pertubuhan di Perak yang menghimpunkan semua Syed di Perak di bawah satu bumbung bernama Jamalullail Perak.Sepupuku menghantarkan emel gambar kubur pengasas Syed Perak dan kemudian mengepos salsilah kami .

Ramadhan baru-baru ini , aku menerima sms dari seseorang yang tidak dikenali bertanyakan tentang salsilahku.Aku jemputnya ke rumah dan dia bercerita tentang beliau mendapat mimpi pada bulan Ramadhan yang lalu tentang seseorang yang memberitahunya bahawa ia keturunan Rasulullah.Beliau bercerita ,ia hendak mencari kepastian tentang dirinya kerana katanya gelaran Syed telah dibuang pada masa datuknya kerana sesuatu muslihat.

Minggu lepas , aku mendapat telefon daripada setiausaha persatuan Jamalullail Perak yang ingin berjumpa denganku untuk mendapatkan salsilah tersebut.Aku jemput ke rumah dan kami berbual mesra.Seorang dari Kuantan ,Pahang manakala dua orang lagi datang dari Batu Caves.Susah payah mereka datang mencari aku untuk mendapatkan salsilah yang diberi oleh sepupu aku itu.Mereka sedang berusaha untuk melengkapkan salsilah kami terus kepada Rasulullah kerana ada bahagian yang tertinggal dalam lapis -lapis keturunan kami.

Menurut mereka, di Malaysia ini keturunan Syed berselerak mengikut sadah keluarga. Ada Al Attas, As Sagoff,Jamalullail, Albar, El Yehya ,As Sahab dan berbagai lagi.Bagi aku sendiri,terasa kecilnya diri nak mengaku keturunan nabi sebab aku ni jahat dan banyak dosa.Dalam hadis nabi ada menyebut bahawa tiada bezanya antara antara orang Arab dan Ajam.Yang membezakannya hanyalah pakaian taqwa.Sungguhpun begitu, pertemuan tersebut mengesahkan lagi susur galur keturunanku dengan lebih jelas lagi.Kalau dilihat dari susur galur tersebut aku dan keluargaku berpunca dari Sayyidina Hassan bin Ali bin Rasulullah.Memang panjang susur galur tersebut dan aku merupakan keturunan yang ketiga belas kalau tak silap.

Akhirnya, sekiranya ada keturunan Syed yang terbaca artikel ini dan ingin melihat susur galur tersebut bolehlah menghubungi aku atau membuka blog di alamat Jamalullailperak.blogspot atau
http://www.asyraf.com.my/.
Jamalullail perak adalah khusus untuk Syed dari Perak manakala asyraaf.com adalah blog khas untuk para Syed Syed seluruh Malaysia.

12/09/2009

Kem Tahfiz mendapat sambutan hangat !!!

Kem tahfiz Al Quran buat julung-julung kalinya berjaya diadakan di Masjid ar Rahman, Kg Bukit Badong.Kem ini dianjurkan oleh Biro Wanita Masjid ar Rahman dengan Biro Dakwah Masjid Ar Rahman.Suatu mesyuarat khas telah diadakan bagi membuat persiapan program ini.
Sekalung tahniah dan ucapan terima kasih kepada pengerusi program iaitu Pn Julaili bt Jumat bersama dengan orang kuatnya iaitu Cik Wahida bt Hj Kamsani.Beliau telah berjaya mengumpulkan para fasilitator dari Universiti Darul Iman (UDM), USIM,serta beberapa orang penuntut dari Markaz Tarbiah Wal Qiraat Jeram, Selangor.

Semasa mesyuarat AJK Masjid, kekhuatiran tentang jumlah peserta yang akan hadir dibincangkan.Pihak Biro Wanita mensasarkan seramai 30 orang peserta sahaja yang akan diambill dengan bayaran sebanyak RM20 untuk program selama 10 hari.Suatu kos yang diluar dari kemampuan akal memikirkannya kerana untuk program serupa yang dianjurkan pihak lain bayarannya mencecah RM250-RM300.Pada hari pendaftaran, pihak urusetia teruja apabila pendaftaran yang dicatatkan seramai 104 orang.

Hasil perbincangan dengan beberapa orang AJK, pihak urusetia menambah bilangan fasilitator serta pihak masjid bersetuju mengeluarkan sebanyak RM2500 untuk menjayakan program ini.

Usaha yang murni ini mendapat dokongan semua pihak apabila kutipan derma ikhlas dibuat , pihak ibu bapa telah menyumbang hampir Rm2000 lagi.Bayaran ini adalah untuk menampung kos makan yang mencecah RM 660 sehari.

Salah seorang AJK masjid Ar Rahman telah bersetuju untuk menaja makanan untuk peserta kem ini untuk selama 5 hari.Ini telah dapat menjimatkan kos kira-kira RM3000.Setiap hari peserta kem mendapat makan sebanyak 3 kali sehari.
Di sepanjang program , peserta sekolah rendah diminta menghafal surah-surah dari juzuk amma sebanyak yang mereka mampu dibawah bimbingan fasilitator.Manakala bagi peserta sekolah menengah pula mereka diminta menghafal surah sajadah, waqiah, yasin dan sebagainya.

Berbagai kerenah dan gelagat anak-anak ini dapat dilihat.Sungguhpun begitu kesungguhan mereka sangat dikagumi.Peserta hadir seawal jam 7.30 pagi kemudian terus menunaikan solat tahiyatul masjid.Selepas itu mereka beramai-ramai akan menunaikan solath dhuha dan membaca al mathurat sebelum memulakan hafalan masing-masing.

Dedikasi dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Cik Wahida dan para fasilitator merupakan kunci utama kejayaan kem ini.Setiap hari Cik Wahida memberi taklimat kepada peserta serta memantau perjalanan program.Setiap peserta dibahagikan mengikut kumpulan seramai 10 orang bagi sebuah kumpulan.

Bagi mengelakkan kebosanan, peserta kem ini juga mengisi slot di sebelah petang dengan bermain futsal di gelanggang bersebelahan masjid dan melakukan aktiviti riadhah yang lain.Selain itu , untuk dua hari terakhir setiap halaqah mempersembahkan persembahan masing-masing dan dihakimi oleh para hakim.Persembahan murid berkisar tentang aktiviti harian, solath, menghafal dan lakonan.Ternyata peserta gembira dan dapat melepaskan tekanan menghafal.
Majlis penutup dijalankan pada 12 Disember yang lalu dengan menjemput ibu bapa untuk turut serta meraikan peserta kem ini. Jamuan tengah hari juga disediakan untuk para ibu bapa.
Majlis penutup disempurnakan oleh Penyelaras Masjid-Masjid Daerah Kuala Selangor iaitu Ustaz Mohamad Nor b Shahar. Sebelum itu, Tuan Nazir Masjid Ar Rahman dan Ketua Kampung Bukit Badong turut sama berucap dan menyampaikan hadiah kepada kumpulan-kumpulan yang memenangi dalam pertandingan yang diadakan.
Suatu yang menarik untuk disebut di sini adalah beberapa hari sebelum kem ini berakhir Tn Hj Mispan penduduk di Kg Bukit Badong ini menyerahkan sebanyak RM 3000 sebagai sumbangan peribadi beliau untuk kem ini. 5 hari selepas itu beliau kembali kerahmatullah.Mudah-mudahan Allah SWT menempatkan rohnya dikalangan para solehin.Program ini berakhir dengan jayanya dan menelan kos sebanyak RM11 000. Sesuatu yang tidak dijangkakan.

Berakhir kem tahfiz , pihak JAIS memberi kepercayaan kepada pihak Masjid Ar Rahman Bukit Badong untuk menjalankan pula program Daurah Kefahaman Islam. Kebimbangan AJK masjid akan kurangnmya bilangan peserta yang hadir memandangkan 10 hari anak-anak ini berada dalam kem tahfiz berakhir apabila seramai 106 orang peserta mendaftar.Peserta ini adalah merupakan peserta baru yang tidak bersama dalam kem tahfiz sebelumnya. Sambutan hangat oleh ibu bapa membayangkan bahawa program sebegini sangat-sangat dihajati oleh ibu bapa bagi memenuhi masa cuti yang panjang di akhir tahun bagi anak-anak mereka.

12/08/2009

12 ladtop dilarikan perompak !!

. Pagi ahad yang lalu, kira-kira jam 5 pagi , 4 orang perompak berjaya memecah masuk ke SMK Rantau Panjang, Bestari Jaya. Sebelum berjaya memasuki ke sekolah tersebut, perompak mengikat 2 orang pengawal keselamatan yang bertugas sebelum masuk ke kawasan sekolah.
. Lokasi mereka adalah makmal komputer sekolah tersebut.Menurut guru ICT SMK Rantau Panjang, Cikgu Zubir b Zashali , 12 buah ladtop yang disimpan di dalam makmal tersebut telah dilarikan."Mereka terlebih dahulu menebuk pintu besi dan melarikan 12 buah ladtop"ujarnya.
Selepas itu, mereka memecah masuk pula ke PKG Rantau Panjang yang berkongsi bangunan dengan SMK Rantau Panjang dan berjaya melarikan sebuah webcam dan sebuah LCD projektor.
. 4 orang perompak itu berketurunan India dan dipercayai ada hubungan dengan kumpulan samseng 08 ataupun 36 yang bergiat aktif di sekitar sini.Dipercayai juga ada dalang yang terdiri daripada pelajar yang bersubahat sama melihat kepada modus operandi mereka.
Sekolah ini mempunyai pelajar berketurunan India sekitar 70 % yang terdiri dari beberapa buah estet di sekitar sini.Polis sedang menjalankan siasatan.

12/03/2009

Rahsia rumah reban ayam di Bukit Badong !!!

Inilah deretan rumah "reban ayam" terletak di jalan besar Kg Bukit Badong menuju Bestari Jaya yang menyakitkan mata memandang.Rumah Phua terletak di hujung sekali berwarna kuning menjadi pusat kegiatan judi haram di Bukit Badong.

Kereta pembeli nombor ekor yang singgah di rumah Phua disamping Honda City kepunyaan anaknya.

Sekali pandang macam rumah kongsi Indon, rupa macam reban ayam pun ada.Jangan terkejut jika dikatakan inilah pusat judi haram ( tak berlesen) Bukit Badong.Lokasinya betul-betul di sebelah kiri pagar masjid lama Kg Bukit Badong dan di tepi laluan utama ke Bestari Jaya dan Unisel.
Mungkin bagi yang tidak mengetahuinya, berasa pelik melihat lori-lori besar, kereta dan motosikal orang Melayu singgah berhampiran rumah itu.Tak lain, hasratnya hanya satu, membeli nombor ekor gelap di kedai Phua.
Aktiviti nombor ekor di kedai Phua ini sudah wujud berpuluh tahun lagi semasa deretan kedai ini belum diratakan separuh untuk memberi laluan kepada pembinaan jambatan di hadapannya.Aktiviti ini cukup rancak dan menjadikan kedai Phua cukup terkenal di kalangan penjudi.
Atas alasan inilah, Phua dan beberapa kerat peniaga Cina di sini enggan berpindah ke tempat lain walaupun rumah ini dibina di atas rizab jalan.Beliau bukannya tidak mampu, malahan kaya raya hasil tiket nombor ekornya, anaknya memakai kerta MPV , Hilux dan Honda Accord.Biarlah tinggal di rumah yang macam reban ayam sekalipun asalkan dapat bisnes nombor ekornya !
Pada masa aku mengambil gambar rumah ini, kebetulan sebuah van putih yang sarat dengan penumpang baru sahaja meninggalkan rumah ini.Kemudian singgah pula dua buah motosikal dan sebuah kereta .Pemandunya keluar dari kereta dan terus masuk ke rumah tersebut.Sedang aku asyik menghalakan kamera ke arah rumah itu, anak perempuannya keluar dan menghalakan kamera putihnya ke arah aku.Segera aku tinggalkan rumah itu, khuatir ada pulak samseng upahan mengejar aku pulak!
Harap JKKK dapat bertindak terhadap aktiviti ini dan merobohkan saja kedai yang menyemakkan mata memandang ni dan menjalankan aktiviti haram!!!

12/01/2009

Relevenkah keputusan UPSR 2009 ?

Tajuk di atas dipilih , setelah melihat perbandingan di antara beberapa buah sekolah dan berdasarkan perbincangan di kalangan pendidik.Di sekolah aku tahun ini , kemerosotan ketara jika dibandingkan dengan tahun-tahun yang lalu.Sedih juga rasanya , apatah lagi apabila mengenangkan apabila murid-murid yang aku beri motivasi dan kaunseling, tidak mencapai kejayaan seperti yang diharapkan.Rasanya tiada lebih atau kurang program yang dibuat sepertimana tahun-tahun lepas cuma hasilnya yang mengecewakan bagi tahun ini.
Sebagai perbandingan , sekolah aku 8 orang 5A, SK Ijok 6 orang, SK Jaya Setia 3 orang , SK Rantau Panjang 1 orang, SK Parit Mahang 3 orang. Itu sekolah kampung dalam daerah Kuala Selangor.Sekolah bandar dan elit di Kuala Selangor contohnya, SK Puncak Alam 98 orang 5A , Saujana Utama 58 orang rasanya dan SK Bandar Baru Kuala Selangor 24 orang kalau tak silap.Jauh beza pencapaian 5A sekolah kampung dan sekolah elit di daerah Kuala Selangor.

Yang menghairankan aku, semasa balik ke kg orang rumah di Kelantan baru-baru ini, apabila ditanya kepada anak sepupu yang bersekolah SK Berangan , sebuah sekolah kampung di dalam daerah Tumpat , yang calonnya budak-budak kampung yang comot,muka kering aje, boleh sampai 60 orang 5A .Sepupu yang membaca pun merangkak-rangkak boleh dapat 3B 2C .4A 1B tak usah ceritalah, berderet-deret !

Di daerah Kuala Selangor ini, ada sebuah sekolah kampung yang prestasi BI mencanak-canak sehingga 98 % sedangkan sekolah aku hanyalah 63 % aje.Dengar-dengar ada something wrong di sana !

Suatu kepelikan lagi, pemeriksa kertas BM mengeluh bahawa pemarkahan tahun ini begitu straight sepanjang bertahun-tahun menyemak penulisan UPSR hinggakan nak dapat 70 markah pun sakit.

Alih-alih apabila keluar result, hampit 70 % calon dapat A penulisan di sekolah aku. Ajaib !ajaib ! agaknya tahun ini, 65 markah dah dapat A !

Entahlah,aku ni orang kecik !Yang buat dasar orang atasan !Apapun tahniah kepada Farid Zuhdi, M Hazim, Kamal Alif, Nurul Ammira, Anis Najwa, Ain Farhana,Aisyah Khairudin dan Wan Nurul Afifah kerana berjaya menempatkan diri di kalangan mereka yang terbaik dari seluruh negara.



11/30/2009

Majlis Perkahwinan Binyamin al Hafiz

Majlis berlangsung tiga hari selepas Hari Raya Qurban baru-baru ini.Pengantin lelaki dalam perjalanan ke rumah pengantin perempuan di Pengkalan Chepa ,Kelantan dengan diiringi kaum keluarga dan handai taulan.

Saat yang paling mendebarkan bagi setiap lelaki yang bakal bergelar suami.Saat berdepan dengan tuan kadhi untuk upacara akad nikah.Mujur tak lenjun peluh pengantin kerana dengan sekali lafaz sahaja, sahlah beliau bergelar seorang suami.Cuma satu yang pelik kerana lafaz nikah tidak disertai dengan huluran tangan dan berjabat seperti biasa.Rasanya pertama kali aku melihat tuan kadi tidak menjabat tangan pengantin lelaki untuk upacara tersebut.Memang sunat tetapi diluar kebiasaan.
Majlis perkahwinan di rumah pengantin lelaki diiringi dengan hujan renyai-renyai di waktu pagi dan agak lebat di sebelah petang.Agaknya sebab sedap sangat suara pengantin lelaki menyumbangkan suara tu yang hujan turun hingga ke petang (gurau aje !) Di samping itu persembahan dikir barat turut diadakan.
Pengantin melayani profesor dan pensyarah dari Universiti Malaysia Kelantan yang datang mengucapkan selamat pengantin baru kepada pasangan ini.

Tu dia .... Pasangan Mohd Binyamin al Hafiz dan isterinya Wan Nor Azimah. Binyamin bertugas sebagai pegawai Pusat Islam di Universiti Malaysia Kelantan manakala isterinya sebagai pegawai kewangan di Jabatan Bendahari, UMK. Semoga berbahagia hingga ke anak cucu.
Ini dia perewang yang syahid setelah bertungkus lumus membasuh pinggan mangkuk pada masa majlis berlangsung.Style lena pun berbagai aksi membayangkan betapa letihnya mereka...Kesian , takpa selepas ini nanti giliran mereka pula menyusul sebagai raja sehari !

11/16/2009

PASTI AN NUR 2009

Pasti An Nur Kg Bukit Badong yang ditubuhkan 12 tahun yang lalu terus melangkah gagah mendepani cabaran.Bermula dengan hanya 18 orang pelajar pada tahun 1997 kini pelajarnya pernah mencapai sehingga lebih seratus orang pada satu sessi.Saat paling manis apabila pada tahun 2004 Pasti An Nur dinobatkan sebagai Pasti Terbaik Negeri Selangor.Pada tahun ini Pasti An Nur terus mengharumkan namanya apabila dinobatkan sebagai Juara keseluruhan Hari Bakat Pasti Daerah Kuala Selangor.Acara dilangsungkan di Perpustakaan Daerah Kuala Selangor dan perasmian penutup dijalankan oleh YB Dr Dzulkefly b Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor
Pasti An Nur juga tidak ketinggalan menjalankan sukaneka tahunan.Buat kali kedua ,pada tahun ini sukaneka tersebut dijalankan dengan penuh meriah di padang belia Bukit Badong.
Pada tahun ini juga Pasti An Nur menjadi tuan rumah kejohanan mini futsal dan bola jaring peringkat daerah Kuala Selangor.Pasukan futsal Pasti An Nur muncul juara manakala pasukan bola jaring menjadi naib juara setelah mengalahkan 17 buah pasti yang lain.Selain itu diadakan juga pameran motor antik dari persatuan peminat motor antik sekitar DUN Ijok Di peringkat negeri yang diadakan di padang UNISEL Bestari Jaya, Pasti An Nur berjaya melangkah ke separuh akhir sahaja.


Sebagai menutup tirai 2009, Pasti An Nur mengadakan majlis ikhtifal dan mini konvo di Dewan Bukit Badong.Majlis berlangsung dengan meriah.Selain upacara penyampaian hadiah , majlis diserikan lagi dengan persembahan nasyid,boria ,hafalan surah, sajak, bercerita dan yang menarik perhatian ibu bapa adalah pertandingan pakaian beragam.

Inilah dia, tenaga pengajar Pasti An Nur yang dedikasi.Tanpa mereka yang memperkenalkan A,B, C dan alif, ba, ta maka tidak akan adalah seorang doktor, arkitek, ingeneer dan sebagainya.Sekalung tahniah kepada Ustazah Zaleha, Ustazah Sharifah Noraini, Ustazah Rahimah, Ustazah Sarimah dan Ustazah Khairiah.

Bagi sessi persekolahan 2010, Pasti An Nur membuka sebuah kelas 4 tahun disamping 5 dan 6 tahun.12 tahun kewujudannya, Pasti An Nur berjaya menarik minat ibu bapa dari Loji Air Sungai Harmoni, Puncak Niaga dan Gamuda.Selain itu guru-guru dari SM Teknik, Bestari Jaya, SM Raja Muda Musa serta SK Bukit Badong adalah antara jumlah teramai yang menghantar anak mereka ke sini di samping penduduk Kg Bukit Badong sendiri. Tak mahal , yuran hanya RM30 sebulan disamping keistimewaannya mengadakan kelas Baca Cepat, Iqra, Tuisyen English dan Kelas Jawi sebagai kelas tambahannya.Oleh itu,jangan ragu-ragu lagi,ibu bapa yang berhampiran,silalah hantar anak anda ke Pasti An Nur bagi sessi 2010 nanti.

11/02/2009

MUHASABAH DIRI


Pidato Almarhum Profesor Zulkifli Muhammad di bawah ini sangat elok untuk direnungi dan dimuhasabah oleh setiap diri lebih-lebih lagi terhadap mereka yang memegang tampuk kekuasaan dan jawatan.
Mudah-mudahan boleh membawa ketenangan kepada jiwa-jiwa kita, kata beliau:

“Sekarang akhlak kita lembik, kebenaran kita ketepikan jika perut kita terancam dan kesucian kita korbankan jika kepentingan kita terlibat maka kita pun seperti sehelai bulu ayam yang halus yang dipermain-mainkan oleh angin nafsu dan keadaan hidup kita. Kita khianat bukan sahaja kepada orang lain tetapi juga kepada diri kita sendiri…….”

Kata Almarhum lagi (48 jam sebelum dipanggil oleh Allah swt)):
“Saya perlu memberitahu kepada saudara-saudara bahawa satu daripada syarat kejayaan bagi sesuatu turunan ialah KEIKHLASAN. Kita mungkin bodoh, mungkin jahil,mungkin tidak tahu apa-apa, mungkin tidak kuat. Tetapi kalau keikhlasan yang ada pada kita maka ada harapan cita-cita kita akan dapat kita laksanakan. Tetapi tidak ada gunanya kita cerdik, cerdas, pandai dan kuat, sekiranya kita tidak ikhlas kepada apa yang hendak kita perjuangkan.”

10/28/2009

Tumpo buat di deme !


Begumpa lagi ,apele keroje deme ,penin nengak orang politit ni.

Bak kata orang Paghit, "Getik bebeno teman nengoknye !" Dah bebulan tak selesai lagi.

Bubo dewan aje, habih ceghite ! Due-due puah ati , kate di teman awak !

Mun selesa , buatnye seri juge , kene ngundi lagi , ate ngundi jele keroje nye.Kolo dah rope itu nak bio aje ? Tak sudah nya.

Iale ...bubo je le...Rasenye dah cemuih oghang Peghak nengoknye ! Ni semua gare-gere tige eko katak tojun tu hari le. Entah le, lain kali kene sumpah quran dulu baru jadi calon ,ade takut sikit nak melompat gamaknye !

Unik bebenole Peghak kite ni yek ! Ade due MB , due kerajaan, due speka , dua senato baru .

Teman rasele kalo bubo dewan sekarang ni , payah Pakatan nak menang .Politik dah berobah PAS udah macam ade due puak pulak, Keadilan pemimpinnya asyik keluo masuk macam masuk pintu romah aje , orang Kelin rope dah patah balik ke BN , tak sio di deme dah ! Tambah kalo udah disuap dideme , beraleh ...rasenya bolehle BN menang kot !

Ate ...kalo dah rope itu, ape tunggu lagi , ape nak takutkan ,bubole nak nengak bebeno sape betoi boleh bekuase, baru puah ati yang menang jage negeri ,yang kalah kumbo , usah nak ngaco !

Begitulah antara sembang-sembang orang Perak tentang situasi politik di Perak.Harap-harap sultan cepatlah bubarkan dewan semoga cepat selesai kemelut politik di Perak.

10/21/2009

Ayat-ayat Al quran di badannya !

Assalaamu’alaikum w.b.t……. Subhanallah, satu lagi keajaiban telah ditunjukkan oleh Yang Maha mencipta. Di wilayah Dagestan, Russia, ada seorang bayi yang baru berusia 9 bulan, lahir bersama tanda lahir berupa ayat2 Quran dan hadith yang mengandungi nama Allah di bahagian2 tubuhnya. Pada mulanya keluar nama Allah di bahagian dagu sebaik sahaja budak lelaki itu lahir.
Kemudian muncul pula ayat2 itu di bahagian belakang badan, lengan, kaki dan perut. Di bahagian kaki pernah tertulis yang bermaksud “Allah pencipta segala sesuatu”. Yang mengujakan lagi ialah, tanda2 itu sentiasa berubah2, 2 kali seminggu. Seperti muncul ayat lain pula menggantikan ayat yang sedia ada. Budak yang bernama Ali Yakubov itu akan merasa tidak selesa ketika perubahan2 ayat itu berlaku dan akan menangis dan suhu badannya akan naik.
Pakar medik pun masih tidak dapat menjelaskan keadaan sedemikian. Walaupun begitu, mereka menafikan bahawa tulisan2 itu ditulis oleh manusia pada kulit.

Ibunya yang bernama Madina, mengatakan bahawa mereka tidak yakin dengan agama Islam sebelum ini. Sehinggalah kepada kejadian kelahiran pada bayi mereka ini.
SUBHANALLAH …….
“Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa Al-Qur’an itu benar. Dan apakah Rabbmu tidak cukup (bagi kamu) bahawa sesungguhnya Dia menyaksikan segala sesuatu?” Surah Fushshilat : Ayat 53 ~ sumber ~ http://hikmatun.wordpress.com/


LIHAT VIDEO DI YOUTUBE : Incredible Miracle Amazing Child with Koran ..


Lagi sejadah berdiri , apa petandanya ?

Warga SK Tok Sangkut di Pasir Mas gempar apabila 35 helai sejadah di dalam surau didakwa berdiri secara misteri dengan sebahagiannya menyerupai individu sedang menunaikan solat.Kejadian itu disedari seorang murid yang kemudiannya memaklumkan kepada gurunya Adnan Abdullah, 37, ketika sesi pembelajaran dijalankan berhampiran surau berkenaan.

"Kejadian berlaku pukul 10.40 pagi, ketika saya menjalankan sesi pembelajaran di luar kelas disebabkan kelas sedang diubahsuai, seorang murid yang terpandang ke arah surau memberitahu sejadah kelihatan berdiri," katanya kepada pemberita di Pasir Mas hari ini.Adnan berkata beliau kemudiannya membuka pintu surau dan amat terkejut melihat sebanyak 35 helai sejadah dalam keadaan berdiri iaitu 16 helai di bahagian lelaki dan 19 lagi di bahagian perempuan."Lebih aneh lagi apabila satu helai lagi berada di bahagian hadapan sekali iaitu di tempat imam dalam keadaan yang sama menunjukkan seolah-seolah sedang melakukan solat secara berjemaah," katanya yang telah mengajar di sekolah berkenaan sejak tujuh tahun lalu.Menurut Adnan, beliau percaya kejadian itu membuktikan keagungan Allah yang mahu umatnya bermuhasabah diri."Bagaimanapun ia terpulang kepada tafsiran individu, bagi saya tak mungkin perkara ini dilakukan oleh manusia kerana tempoh semua sejadah dalam keadaan demikian lama,"katanya.

Beliau berkata pada bulan Ramadhan yang lepas perkara yang sama turut berlaku di rumah penduduk kampung berkenaan apabila sehelai sejadahnya turut berdiri sendiri.Manakala bagi pembantu penguasa pejabat agama Pasir Mas, Kamarudin Zakaria yang ditemui di situ berkata beliau tidak menolak kemungkinan perkara itu dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab untuk menggemparkan penduduk setempat."Ia terpulang kepada tafsiran setiap individu untuk menganggap ia perkara ajaib atau sebagainya, tetapi bagi saya perkara-perkara sebegini boleh memesongkan akidah seseorang," katanya.

Kamarudin berkata pihaknya akan memaklumkan perkara berkenaan kepada jabatan agama dan jika sejadah masih dalam keadaan demikian sehingga esok, pihaknya akan mengambil tindakan yang perlu.Sementara itu, kawasan sekolah berkenaan sesak dengan orang ramai yang ingin melihat kejadian itu dari dekat. BERNAMA

10/16/2009

Minggu-minggu sibuk ...

Kepada para pengunjung laman ini, maaf kerana tidak dapat update dan membuat posting terbaru.Minggu ini sangat sibuk dengan bebanan kerja yang menimbun.Dari Selasa lalu meeting kaunseling , bersambung pula dengan mark paper UPSR selama 3 hari hinggalah bersambung Rabu minggu depan ke Port Dickson pula meeting LDP pulak. Kerja sekolah yang menimbun di hujung-hujung tahun ini ,macam -macam data nak disiapkan , PIBG lagi ,rasanya tak daya nak disiapkan.
Kejapnya dah nak sampai ke hujung tahun .Rasanya baru saja masuk tahun 2009 la ni dah sampai ke penghujung.Begitulah pusingan dunia.Dalam kesibukan itu , harap-harap janganlah Tuhan tarik nyawa ketika ini.Bukan apa , rasanya bekalan untuk ke alam sana rasanya sedikit sangat padahal perjalanannya terlampau jauh dan lama.
Mudah-mudahan kita sempat break untuk muhasabah diri walau sesibuk manapun.Sebenarnya ada jawapan bagi setiap alasan kita. Jikalau kita sibuk , sibuk lagi Nabi Sulaiman menguruskan manusia, jin dan haiwan , jika kita sakit hingga malas nak beribadah, sakit lagi Nabi Ayub sehingga luruh daging-daging badannya , jika kita miskin , miskin lagi Nabi Isa AS.
Sebenarnya kita manusia ni terlalu banyak beralasan .Wallahu aklam.

10/07/2009

Usahlah berburuk sangka !!!


"Hubungan yang baik antara satu dengan lain dan khususnya antara muslim yang satu dengan muslim lainnya merupakan sesuatu yang harus dijalin dengan sebaik-baiknya. Ini kerana Allah telah menggariskan bahawa mukmin itu bersaudara. Itulah sebabnya, segala bentuk sikap dan sifat yang akan memperkukuh dan memantapkan persaudaraan harus ditumbuhkan dan dipelihara, sedangkan segala bentuk sikap dan sifat yang dapat merosak ukhuwah harus dihilangkan.

Agar hubungan ukhuwah islamiyah itu tetap terjalin dengan baik, salah satu sifat positif yang harus dipenuhi adalah husnuzh zhan (berbaik sangka).Oleh kerana itu, apabila kita mendapatkan informasi negatif tentang sesuatu yang terkait dengan peribadi seseorang apalagi seorang muslim, maka kita harus melakukan tabayyun (penyelidikan) terlebih dahulu sebelum mempercayainya apalagi meresponnya secara negatif, Allah berfirman yang ertinya: "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." Q.S Al-Hujuraat :

6Manfaat Berbaik Sangka
Ada banyak nilai dan manfaat yang diperolehi seseorang muslim bila dia memiliki sifat husnuz dzan kepada orang lain.
Pertama, hubungan persahabatan dan persaudaraan menjadi lebih baik, perkara ini kerana berbaik sangka dalam hubungan sesama muslim akan menghindari terjadinya keretakan hubungan. Bahkan keharmonian hubungan akan semakin terasa kerana tidak ada halangan psikologis yang menghambat hubungan itu.
Kedua, terhindar dari penyesalan dalam hubungan dengan sesama kerana buruk sangka akan membuat seseorang menimpakan keburukan kepada orang lain tanpa bukti yang benar, Allah berfirman sebagaimana yang disebutkan pada Surah Al-Hujuraat Ayat 6 di atas.
Ketiga, selalu berbahagia atas segala kemajuan yang dicapai orang lain, meskipun kita sendiri belum dapat mencapainya, perkara ini memiliki erti yang sangat penting, kerana dengan demikian jiwa kita menjadi tenang dan terhindar dari iri hati yang boleh berkembang pada dosa-dosa baru sebagai kelanjutannya. Ini bererti kebaikan dan kejujuran akan membawa kita pada kebaikan yang banyak dan dosa serta keburukan akan membawa kita pada dosa-dosa berikutnya yang lebih besar lagi dengan dampak negatif yang semakin banyak.

Ruginya Berburuk Sangka
Manakala kita melakukan atau memiliki sifat berburuk sangka, ada sejumlah kerugian yang akan kita perolehi, baik dalam kehidupan di dunia mahupun di akhirat.
Pertama, mendapat dosa.
Berburuk sangka merupakan sesuatu yang jelas-jelas bernilai dosa, kerana disamping kita sudah menganggap orang lain tidak baik tanpa dasar yang jelas, berusaha menyelidiki atau mencari-cari keburukan orang lain, juga akan membuat kita melakukan dan mengungkapkan segala sesuatu yang buruk tentang orang lain yang kita berburuk sangka kepadanya, Allah berfirman yang ertinya : "Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. " Q.S Al-Hujuraat : 12
Kedua, dusta yang besar.
Berburuk sangka akan membuat kita menjadi rugi, kerana apa yang kita kemukakan merupakan suatu dusta yang sebesar-besarnya, perkara ini disabdakan oleh Rasulullah : "Jauhilah prasangka itu, sebab prasangka itu pembicaraan yang paling dusta" HR. Muttafaqun alaihiKetiga, menimbulkan sifat buruk. Berburuk sangka kepada orang lain tidak hanya berakibat pada penilaian dosa dan dusta yang besar, tetapi juga akan mengakibatkan munculnya sifat-sifat buruk lainnya yang sangat berbahaya, baik dalam perkembangan peribadi mahupun hubungannya dengan orang lain, sifat-sifat itu antara lain ghibah, kebencian, hasad, menjauhi hubungan dengan orang lain dll. Dalam satu hadith, Rasulullah bersabda : "Hendaklah kamu selalu benar. Sesungguhnya kebenaran membawa kepada kebajikan dan kebajikan membawa ke syurga. Selama seseorang benar dan selalu memilih kebenaran dia tercatat di sisi Allah seorang yang benar (jujur). Berhati-hatilah terhadap dusta, sesungguhnya dusta membawa kepada kejahatan dan kejahatan membawa kepada neraka. Selama seseorang dusta dan selalu memilih dusta dia tercatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta. " HR. Bukhari.

Berburuk sangka merupakan sesuatu yang sangat tercela dan mengakibatkan kerugian, maka perbuatan ini sangat dilarang di dalam Islam sebagaimana yang sudah disebutkan pada Surah Al-Hujuraat Ayat 12 di atas. Untuk menjauhi perasaan berburuk sangka, maka masing-masing kita harus menyedari betapa hal ini sangat tidak baik dan tidak benar dalam hubungan persaudaraan, apalagi dengan sesama muslim dan aktivis dakwah.
Disamping itu, bila ada benih- benih di dalam hati perasaan berburuk sangka, maka perkara itu harus segera dicegah dan dijauhi kerana ia berasal dari godaan syaitan yang bermaksud buruk kepada kita. Dan yang lebih penting lagi adalah memperkukuh terus jalinan persaudaraan antara sesama muslim dan aktivis dakwah agar yang selalu kita kembangkan adalah berbaik sangka, bukan malah berburuk sangka.Oleh kerana itu, Khalifah Umar bin Khattab menyatakan: Janganlah kamu menyangka dengan satu kata pun yang keluar dari seorang saudaramu yang mukmin kecuali dengan kebaikan yang engkau dapatkan bahawa kata-kata itu mengandungi kebaikan.
Demikian perkara-perkara dasar yang harus mendapat perhatian kita dalam kaitan dengan sikap husnuzhzhan (berbaik sangka).Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmatMu dan limpahilah ke atas kami khazanah rahmatMu, wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmuku dan luaskanlah kefahamanku. Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku dan mudahkanlah urusanku"Seandainya engkau menyampaikan keburukan saudaramu, Jika itu benar, maka bererti kamu sudah membuka aib saudaramu, dan jika itu salah, maka engkau sudah melakukan fitnah "