2/27/2010

NOSTALGIA ITU INDAH !

Sekali sekala pulang ke kampung, rasanya banyak yang hendak dilakukan dalam masa beberapa hari.Cuma ,tak banyak yang dapat dilakukan.Cuma balik kampung kali ini hati macam ditarik-tarik untuk mengenang kembali nostalgia semasa aku berulang-alik ke sekolah di pekan Parit.
Apabila diceritakan tentang perjalanan aku ke sekolah, anak-anak macam tak percaya.Maklumlah mereka ke sekolah siap-siap aje naik ke kereta dan terus masuk ke pintu kelas.Tingkatan 4 dan 5 aku bersekolah di sekolah Menengah Iskandar Shah.Aku akan mengayuh basikal kira-kira 10 km .Sampai di tebing sungai Perak, aku dan kawan-kawan meletakkan basikal di bawah pokok sambil menunggu bot Pak Din sampai.Apabila bot Pak Din sampai kami pun berebut-rebut melompat naik supaya dapat tempat duduk.Sampai di seberang aku berjalan pula lebih kurang setengah kilometer menuju ke sekolah. Pengalaman yang tak dapat aku lupakan adalah apabila sampai di seberang sungai,aku melompat ke jeti sebelum bot menghampiri jeti.Dengan selambanya aku melombat tapi malang satu kali tu “ kedebush…..” aku terjatuh ke dalam sungai.Yang timbul dan terapung-apung hanya beg aku aje .Aku dah nak hampir tenggelam.Mujur aku dapat berpegang pada badan bot dan dalam tercungap-cungap aku naik semula ke dalam bot.Dalam basah kuyup tu dan termalu-malu, aku terus menyeberang semula dan balik ke rumah.Kayuh basikal macam orang sewel dalam basah kuyup.Nak cover malu buat selamba jelah.
Aku tunjukkan pada anak-anak jeti yang penuh nostalgia tu.Malangnya dah tiada walau sebatang kayu pun.Yang tinggal hanyalah tebing kesan jeti yang pernah didirikan di situ dan pokok ara yang semakin tua dan akarnya yang makin terbuai-buai ke bumi. Pak Din pun dah meninggal dunia lemas dalam sungai ketika mengejar botnya yang terlepas dari ikatan.
Cepatnya masa berlalu ….dah hampir suku abad kejadian tu …masa merubah segalanya !
Dah terlanjur balik tu, sempat singgah kat air terjun Ulu Kenas, Kuala Kangsar yang airnya cukup menyegarkan. Seronoknya anak-anak mandi-manda.Di sini juga terdapat kem PLKN yang terletak di puncak air terjun.Teringat masa sekolah menengah, kawan membuat aksi lipat di sini hingga kepalanya terhantuk ke batu dan terpaksa di bawa ke Hospital Kuala Kangsar!
Sempat jugak masuk ke kebun menebang pisang dengan anak-anak.Yang aku nak tergelak apabila Azrul melalak menangis apabila melihat pacat yang kembung di celah kakinya.Abangnya dengan berani mengambil pacat di celah kaki Azrul dan menyuakan kepada uminya.Giliran uminya pulak menjerit dan berlari dengan pantas masuk ke rumah kerana kegelian. Macamlah orang pekan sangat…. !
Singgah di pekan sari, Parit membeli apa yang patut.Terkejut melihat rakan sama-sama berniaga ketika zaman reformasi dulu di Selangor masih berniaga sampai ke Perak.Perniagaannya cuma menjual hammer serbaguna.Itulah punca rezekinya tapi melihat caranya rasanya ia berjaya dalam perniagaannya walaupun ringkas saja bisnesnya.
Apa yang aku lihat, pekan Parit tak jauh berubah sejak aku pertama kali meninggalkan kampung sejak selepas SPM 1996 yang lalu.Sebab utama adalah kerana di sini tidak produktif menyebabkan orang muda berhijrah meninggalkan orang-orang tua sahaja kesepian di rumah-rumah besar di tepi jalan.Meninggal saja orang tua, maka jadilah rumah besar tu sebagai “rumah hantu yang semakin usang”.
Di kampung aku pun hanya tinggal abang yang sakit dan mak saudara yang tinggal seorang sahaja yang selalu aku kunjungi.Saudara mara yang lain satu demi satu dipanggil mengadap Tuhannya. Harap-harap suasana di kampung akan berubah apabila dengarnya ada seorang guru besar “tabligh’ sedang merancang membina sekolah pondok di kampong ku. Itulah juga harapanku yang lama aku inginkan berlaku di kampung yang semakin tandus dari suasana agama.Sambil itu pandangan aku tertumpu melihat anakku yang nampaknya seronok menunggang basikal tua ayah ngahnya !

2/16/2010

JOGET LAMBAK YANG TETAP BERTAHAN ...



Sebaik saja sampai di rumah abang di Perak, aku mengajak anak jantanku keluar untuk mencari makan malam.Maklumlah tiga jam lebih perjalanan, malam ,perut mula menendang-nendang minta di isi. Kami singgah di kedai baru bersebelahan kuaters guru di kampung bersebelahan.Tengok ramai sungguh pengunjung.Aku ambil keputusan pergi ke kedai lain aje.Almaklum, dah tentu letih nak menunggu makanan siap ditempah.


Kami singgah di kedai makan berhampiran tali air.Lega sebab masa tu tak ramai lagi pengunjung.Terkejut tengok di sebelah kedai sudah didirikan studio karaoke.Melalaklah sang penyanyi dengan dihiasi lampu-lampu ala disko. “Hebat juga!”getus hati ku melihat orang kampung berkaraoke! "Eleh.. tak sedap ! " kata Amirul mencemuh suara penyanyi itu ! Makin lama makin ramai pengunjung dan kebanyakannya orang Seberang yang bekerja di ladang kelapa sawit.


Setelah membayar, kami pun berlalu.Rancak berbual dengan anak-anak jantan aku,tak sedar aku terbabas sampai ke Bota.Maklumlah di kampong , lampu jalan tak seterang di tempat tinggalku di kawasan MB di Ijok, Selangor.Lagipun jarang-jarang keluar waktu malam di kampung, dah tak perasan jalan masuk ke rumah abang aku. Tiba di Kg Dusun Hilir, kami tersentak melihat suatu pemandangan yang agak asing sekarang ini di kampung-kampung.Amirul dan Azrul menyuruh aku berhenti untuk melihat.Aku pun berhenti dan melihat situasi yang tak dijangka masih ada di kampung. Aku buka kopiah dan turun dari kereta,tertarik melihat situasi tersebut , dengan tiga kali snap aku kembali ke kereta.

Sebenarnya aku agak terkejut sedikit melihat suatu yang aku jangkakan sudah lama berakhir di kampung.
Apa yang aku lihat adalah suatu pesta yang dipanggil "Joget Lambak " sempena meraikan pengantin pada malamnya. Kumpulan anak muda yang cukup ramai terkinja-kinja menari mengikut rentak muzik dari lagu popular masa kini,

"ibu..ibu.. bapa.. bapa.. pengumuman...pengumuman...siapa yang ada anak .." lagu dari kumpulan Wali Band dari Seberang ! Kumpulan band yang dijemput nampaknya hebat dengan alatan muziknya.Lapangan untuk berjoget pun disediakan oleh tuan rumah, bawah canopy lagi ! Penonton cukup ramai dan siap ada orang berniaga air dan kacang kuda rebus lagi !Aku melihat beberapa orang perempuan berskirt pendek, berambut kerinting dan berwajah gelap dan bermekap tebal turut berada di situ.

Apa yang aku lihat tadi mengimbau kembali kenangan semasa aku di sekolah rendah dalam penghujung 70-an.Waktu itu, apabila ada majlis kenduri kahwin banyak yang mengadakan joget lambak pada waktu malam.Ada suatu majlis yang aku hadiri tu, penyanyi perempuannya menghidangkan segelas demi segelas air arak kepada pemain drum sambil bergelak ketawa dan berjoget.

Mereka pun berjogetlah sampai pagi apatah lagi dibawakan khas orang Sakai dari hulu untuk berjoget .Rasanya yang aku lihat berambut kerinting, berwajah gelap, bermekap tebal dan berskirt pendek tadi pastinya Sakai yang dijemput khas berjoget untuk memanaskan malam tersebut.Orang Sakai memang terkenal dengan joget mereka yang panas sebab itulah ada orang kampung yang sanggup mengusung mereka untuk memenuhi selera orang muda. Oleh kerana aku tak tunggu lama ,tak dapatlah aku tengok orang Sakai berjoget.Risau pulak kalau tuan rumahnya curiga melihat aku yang menangkap gambar.Dah lah masa ngundi dulu aku dah buat hal.Kecoh satu kampung ......



Huh.... rupanya belum merdeka lagi orang kampungku dari kejahilan mereka..... !

SENARAI TERBARU ORANG TERKAYA DI MALAYSIA


KUALA LUMPUR 16 Feb: Orang Melayu terkaya di Malaysia menurut majalah Malaysian Business adalah Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary (Yayasan Albukhary) yang memiliki harta sebanyak RM6.01 bilion, kedua dan ketiga adalah anak-anak Allahyarham Tan Sri Shamsuddin iaitu pemilik syarikat Sapura Holding.Mereka adalah Datuk Shahril Shamsuddin dan Shahriman Shamsuddin.

Majalah Malaysian Business juga menamakan Adik Perdana Menteri, Datuk Seri Nazir Razak sebagai orang Melayu yang ke empat terkaya di Malaysia melalui senarai 40 orang terkaya di Malaysia.

Baru-baru ini, Malaysian Busines mendedahkan senarai 40 orang terkaya di Malaysia melalui kajiselidik yang dibuat oleh majalah perniagaan itu.

Orang terkaya di Malaysia, menurut majalah itu adalah Raja Gula iaitu Tan Sri Robert Kuok yang dinyatakan memiliki harta sejumlah RM42.76 bilion meningkat RM16.1 bilion daripada RM26.6 bilion, setahun lalu.

Berikut adalah 14 dari 40 orang terkaya di Malaysia menurut Malaysian Business.

1) Tan Sri Robert Kuok (Raja Gula) - RM42.76 bilion
2) Ananda Krishnan (Mexis) - RM27 bilion
3) Tan Sri Lee Shin Chen ( IOI) - RM11.92 bilion
4) Tan Sri Lim Kok Thay (Genting) - RM10.38 bilion
5) Tan Sri Quek Leng Chan (Hong Leong) - RM7.09 bilion
6) Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary (Yayasan Albukhary) - RM6.01 bilion
7) Puan Sri Lee Kim Hua (Genting)
8) Tan Sri Tiong Hiew King (Rimbunan Hijau)
9) Tan Sri Vincent Tan (Berjaya)
10) Lee Swee Eng (KNM Group)
11) Datuk Shahril Shamsuddin (Sapura)
12) Shahriman Shamsuddin (Sapura)
13) Datuk Seri Nazir Razak (CIMB)
14) Ong Leong Huat (OSK)

SUMBER : HARAKAHDAILY

2/07/2010

STATISTIK ANAK LUAR NIKAH DI MALAYSIA 2009

Pecahan mengikut negeri:
Selangor = 12,836 orang
Perak = 9,788 orang
Kuala Lumpur = 9,439 orang
Johor = 8,920 orang
Sabah = 8,435 orang
Negeri Sembilan = 4,108 orang
Pahang = 3,677 orang
Kedah = 3,496 orang
Pulau Pinang = 3,412 orang
Melaka = 2,707 orang
Kelantan = 1730 orang
Perlis = 691 orang
Sarawak = 617 orang
Terengganu = 574 orang

JUMLAH = 70,430 orang.
SUMBER : BERITA HARIAN

1/21/2010

Destinasi santai hujung minggu di Pantai Remis ,Jeram !







Konklusi Kepada Kemelut Penggunaan Kalimah Allah

Oleh : Ustaz Ahmad Awang
( Bekas Ketua Pengarah Pusat Islam / Bekas Naib Presiden PAS Pusat)

1. Al-Quran menegaskan bahawa manusia yang bukan Muslim/musyrik samada penyembah berhala ataupun orang-orang Yahudi dan Nasrani mengakui ALLAH adalah Pencipta, Pemilik, Pemelihara, Pengatur alam.
2. Orang Muslim (Mukmin) wajib mengimani bahawa ALLAH adalah Tuhan (Rabb) bagi seluruh alam dan Dia juga ALLAH bagi seluruh manusia.
3. Adalah menjadi kesalahan dan bercanggah dengan ajaran Islam sekiranya orang Muslim mendakwa/berkata/mempercayai bahawa ALLAH hanya Tuhan bagi orang Islam sahaja.
4. Mempercayai ALLAH sebagai Tuhan (Rabb) seluruh alam, belum bererti menjadi Muslim/Mukmin.
5. Menurut aqidah Islam, seseorang yang mengakui ALLAH sebagai Tuhan/Rabb Pencipta, Pemilik, Pemelihara, Pengatur alam; wajiblah mengimani bahawa ALLAH sahaja (yang Esa) ILAH yang wajib diibadati (“disembah” dalam Bahasa Melayu yang kurang tepat).
6. Orang-orang musyrik termasuk Kristian dan Yahudi menyebut nama ALLAH dalam konteks kepercayaan mereka yang sesat atau bercanggah dengan aqidah tauhid.
7. ALLAH mengutuk perbuatan mensekutukanNya dan memberi ancaman siksaan yang keras di hari Akhirat.
8. Namun ancaman keras ALLAH terhadap golongan yang memesongkan kepercayaan aqidah tauhid itu tidak pula bererti bahawa umat Islam boleh melakukan paksaan atau kekerasan terhadap mereka kerana Islam agama dakwah, bukan agama paksaan, apalagi kekerasan.
9. Hampir setiap kali kalimah ALLAH yang dipesongkan oleh golongan sesat itu, diiringi dengan penegasan dan penjelasan bahawa ALLAH Tuhan Yang Maha Esa (dari segi uluhiyah/ubudiyah).

KEMELUT PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH 4

Pada pandangan seorang non Muslim

Sebab bukan Melayu sukar terima Islam
KK Jan 6, 10 10:29am
Perkataan "Islam" di Malaysia sudah menjadi sinonim dengan Melayu. Jadi isu yang melibatkan penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Islam terus dikaitkan dengan persoalan "Melayu lawan bukan Melayu".Sebagai contoh, sudah menjadi amalan biasa di negara ini untuk pertubuhan dan NGO Islam berjuang untuk hak-hak seperti kuota dalam bidang ekonomi dan pendidikan kepada komuniti Islam seiring dengan pertubuhan dan NGO Cina, India, Orang Asli dan lain-lain yang berjuang untuk kuota masing-masing.

Akibatnya, perkataan Islam disalahtafsir sebagai suatu nama untuk sekumpulan atau serumpun manusia, dan bukan lagi suatu gambaran cara hidup untuk manusia seperti yang dinyatakan dalam al-Quran. Dalam erti kata lain, majoriti umat Islam sudah dijangkiti wabak yang melanda penganut Yahudi, iaitu merasakan diri mereka insan terpilih, termasuk dalam kelab atau "kumpulan orang beriman".

Cuba bayangkan, segolongan manusia percaya bahawa Tuhan itu Allah, iaitu yang menciptakan langit dan bumi serta yang memberikan mereka rezeki.Tetapi mereka mempunyai kepercayaan yang songsang bahawa Allah itu mempunyai anak atau sebagainya di atas dunia ini.Tiba-tiba, kita berkata, "Tidak! Kamu tidak boleh mengaku Tuhan yang menciptakan alam ini Allah kerana kamu mempunyai kepercayaan lain yang salah tentang sifat Allah".

Dalam dunia Islam sendiri, terdapat berpuluh-puluh juta orang Islam di Iran, Syria dan Lebanon yang percaya bahawa Saiyidina Ali itu bayangan Allah dan dicipta daripada cahaya Allah dan sebagainya. Golongan Yazidi, Druze dan Alwayiah di Timur Tengah mempunyai pelbagai pendustaan terhadap Allah yang sama teruknya dengan kepercayaan orang Kristian.Lebih teruk lagi, sheikh-sheikh dan ketua agama mereka yang dimartabatkan status ini bukannya seorang nabi. Tidak pernah pula kita mendengar sebarang pihak, hatta golongan yang dianggap pelampau atau ekstrem agama termasuk al-Qaeda atau Hizb at-Tahrir atau lain-lain yang cuba melarang golongan minoriti ini menggunakan nama Allah.

Jika benar sekalipun pihak gereja Katholik berniat untuk mengelirukan orang Melayu, saya ingin bertanya, bolehkah kita mempunyai undang-undang untuk melarang orang lain menggunakan nama Allah hanya kerana kita berpendapat mereka berniat untuk mengelirukan kita?Apakah ada asas untuk negara ini mempunyai undang-undang melarang orang lain menggunakan nama Allah kerana kita bimbang ia boleh mengelirukan kita?
Saya rasa negara yang menggubal undang-undang kerana "takut ia boleh mengelirukan" adalah sebuah negara yang teruk dan sedang menuju keruntuhan kerana undang-undang hanya digubal berdasarkan prinsip keadilan. Melarang gereja Katholik menggunakan perkataan Allah melanggar prinsip dalam agama Islam dan juga perlembagaan.

Mungkin benar pihak gereja ingin mengembangkan pengaruh mereka di Malaysia, tetapi ia melanggar ajaran al-Quran dan juga melanggar perlembagaan untuk menyekat mereka menggunakan nama Allah sewaktu merujuk Tuhan.Saya berpendapat, definisi Melayu sebagai penganut Islam seperti yang dilakukan di Malaysia telah menjauhkan masyarakat bukan Islam daripada agama Islam.

Kenapa agama lain seperti Kristian begitu senang diterima oleh orang Cina, India dan penduduk pribumi di Sabah dan Sarawak berbanding Islam?
Dalam sejarah Islam, kita melihat bagaimana penduduk di Afrika Utara dan tanah bekas jajahan Roman begitu ramai memeluk Islam selepas pemerintahan bertukar kepada orang Islam. Mereka tidak mempunyai masalah dengan panggilan nama Tuhan.Malah umat Islam pada zaman tersebut dianggap sebagai masyarakat bertamadun seperti dunia hari ini melihat negara Kesatuan Eropah dan sebagainya.Afrika Utara (Mesir dan Maghribi) dan juga negara seperti Lebanon, Syria, Jordan dan Palestin pada hari ini pada asalnya berpenduduk majoriti Kristian dan juga Yahudi.

Apabila kekuasaan beralih kepada orang Islam, masyarakat mereka memeluk Islam tanpa sebarang paksaan. Minoriti Kristian dan Yahudi pada hari ini di negara-negara tersebut keturunan mereka yang hidup pada zaman sebelum kedatangan Islam.Kenapakah begitu sukar orang bukan Melayu di Malaysia menerima Islam? Kesukaran ini berlaku walaupun mereka akan mendapat faedah seperti dianggap bumiputera dan sebagainya.

Pada pandangan saya, masyarakat bukan Melayu tidak tertarik kepada Islam kerana mereka nampak ketidakadilan yang dilakukan oleh kita atas nama agama Islam. Kerana itulah orang Cina di Singapura lebih senang untuk didakwah kepada Islam berbanding orang Cina di Malaysia.Sebenarnya tamadun yang paling mesra dan tidak mempunyai masalah dengan Islam ialah tamadun China kerana faktor sejarah. Orang Islam ramai yang diberi jawatan tinggi dan diberi kepercayaan dalam sejarah kerajaan negara China.

Malangnya, akibat isu perkauman yang ditimbulkan di negara kita, orang-orang Cina di Malaysia sudah mempunyai pandangan yang kurang tepat tentang ajaran Islam. Saya percaya, melarang orang bukan Islam menggunakan nama Allah akan menjauhkan lagi mereka daripada Islam.Tidak adil dan bercanggah dengan prinsip keadilan untuk melarang mereka menggunakan nama Allah kerana "bimbang orang Melayu akan terkeliru".