2/27/2010

NOSTALGIA ITU INDAH !

Sekali sekala pulang ke kampung, rasanya banyak yang hendak dilakukan dalam masa beberapa hari.Cuma ,tak banyak yang dapat dilakukan.Cuma balik kampung kali ini hati macam ditarik-tarik untuk mengenang kembali nostalgia semasa aku berulang-alik ke sekolah di pekan Parit.
Apabila diceritakan tentang perjalanan aku ke sekolah, anak-anak macam tak percaya.Maklumlah mereka ke sekolah siap-siap aje naik ke kereta dan terus masuk ke pintu kelas.Tingkatan 4 dan 5 aku bersekolah di sekolah Menengah Iskandar Shah.Aku akan mengayuh basikal kira-kira 10 km .Sampai di tebing sungai Perak, aku dan kawan-kawan meletakkan basikal di bawah pokok sambil menunggu bot Pak Din sampai.Apabila bot Pak Din sampai kami pun berebut-rebut melompat naik supaya dapat tempat duduk.Sampai di seberang aku berjalan pula lebih kurang setengah kilometer menuju ke sekolah. Pengalaman yang tak dapat aku lupakan adalah apabila sampai di seberang sungai,aku melompat ke jeti sebelum bot menghampiri jeti.Dengan selambanya aku melombat tapi malang satu kali tu “ kedebush…..” aku terjatuh ke dalam sungai.Yang timbul dan terapung-apung hanya beg aku aje .Aku dah nak hampir tenggelam.Mujur aku dapat berpegang pada badan bot dan dalam tercungap-cungap aku naik semula ke dalam bot.Dalam basah kuyup tu dan termalu-malu, aku terus menyeberang semula dan balik ke rumah.Kayuh basikal macam orang sewel dalam basah kuyup.Nak cover malu buat selamba jelah.
Aku tunjukkan pada anak-anak jeti yang penuh nostalgia tu.Malangnya dah tiada walau sebatang kayu pun.Yang tinggal hanyalah tebing kesan jeti yang pernah didirikan di situ dan pokok ara yang semakin tua dan akarnya yang makin terbuai-buai ke bumi. Pak Din pun dah meninggal dunia lemas dalam sungai ketika mengejar botnya yang terlepas dari ikatan.
Cepatnya masa berlalu ….dah hampir suku abad kejadian tu …masa merubah segalanya !
Dah terlanjur balik tu, sempat singgah kat air terjun Ulu Kenas, Kuala Kangsar yang airnya cukup menyegarkan. Seronoknya anak-anak mandi-manda.Di sini juga terdapat kem PLKN yang terletak di puncak air terjun.Teringat masa sekolah menengah, kawan membuat aksi lipat di sini hingga kepalanya terhantuk ke batu dan terpaksa di bawa ke Hospital Kuala Kangsar!
Sempat jugak masuk ke kebun menebang pisang dengan anak-anak.Yang aku nak tergelak apabila Azrul melalak menangis apabila melihat pacat yang kembung di celah kakinya.Abangnya dengan berani mengambil pacat di celah kaki Azrul dan menyuakan kepada uminya.Giliran uminya pulak menjerit dan berlari dengan pantas masuk ke rumah kerana kegelian. Macamlah orang pekan sangat…. !
Singgah di pekan sari, Parit membeli apa yang patut.Terkejut melihat rakan sama-sama berniaga ketika zaman reformasi dulu di Selangor masih berniaga sampai ke Perak.Perniagaannya cuma menjual hammer serbaguna.Itulah punca rezekinya tapi melihat caranya rasanya ia berjaya dalam perniagaannya walaupun ringkas saja bisnesnya.
Apa yang aku lihat, pekan Parit tak jauh berubah sejak aku pertama kali meninggalkan kampung sejak selepas SPM 1996 yang lalu.Sebab utama adalah kerana di sini tidak produktif menyebabkan orang muda berhijrah meninggalkan orang-orang tua sahaja kesepian di rumah-rumah besar di tepi jalan.Meninggal saja orang tua, maka jadilah rumah besar tu sebagai “rumah hantu yang semakin usang”.
Di kampung aku pun hanya tinggal abang yang sakit dan mak saudara yang tinggal seorang sahaja yang selalu aku kunjungi.Saudara mara yang lain satu demi satu dipanggil mengadap Tuhannya. Harap-harap suasana di kampung akan berubah apabila dengarnya ada seorang guru besar “tabligh’ sedang merancang membina sekolah pondok di kampong ku. Itulah juga harapanku yang lama aku inginkan berlaku di kampung yang semakin tandus dari suasana agama.Sambil itu pandangan aku tertumpu melihat anakku yang nampaknya seronok menunggang basikal tua ayah ngahnya !

2 comments:

  1. salam, bleh emel ana....

    zliey@yahoo.com
    usrahpkks@yahoo.com

    berkenaan weblog pkks

    ReplyDelete
  2. ye, bot pak din! saya ingat zaman 80an saya dan arwah abah naik bot itu nak ke tanjung belanja kanan rumah tok opah tiri kami. mmg nostalgia bersama arwah abah!

    ReplyDelete