12/09/2009

Kem Tahfiz mendapat sambutan hangat !!!

Kem tahfiz Al Quran buat julung-julung kalinya berjaya diadakan di Masjid ar Rahman, Kg Bukit Badong.Kem ini dianjurkan oleh Biro Wanita Masjid ar Rahman dengan Biro Dakwah Masjid Ar Rahman.Suatu mesyuarat khas telah diadakan bagi membuat persiapan program ini.
Sekalung tahniah dan ucapan terima kasih kepada pengerusi program iaitu Pn Julaili bt Jumat bersama dengan orang kuatnya iaitu Cik Wahida bt Hj Kamsani.Beliau telah berjaya mengumpulkan para fasilitator dari Universiti Darul Iman (UDM), USIM,serta beberapa orang penuntut dari Markaz Tarbiah Wal Qiraat Jeram, Selangor.

Semasa mesyuarat AJK Masjid, kekhuatiran tentang jumlah peserta yang akan hadir dibincangkan.Pihak Biro Wanita mensasarkan seramai 30 orang peserta sahaja yang akan diambill dengan bayaran sebanyak RM20 untuk program selama 10 hari.Suatu kos yang diluar dari kemampuan akal memikirkannya kerana untuk program serupa yang dianjurkan pihak lain bayarannya mencecah RM250-RM300.Pada hari pendaftaran, pihak urusetia teruja apabila pendaftaran yang dicatatkan seramai 104 orang.

Hasil perbincangan dengan beberapa orang AJK, pihak urusetia menambah bilangan fasilitator serta pihak masjid bersetuju mengeluarkan sebanyak RM2500 untuk menjayakan program ini.

Usaha yang murni ini mendapat dokongan semua pihak apabila kutipan derma ikhlas dibuat , pihak ibu bapa telah menyumbang hampir Rm2000 lagi.Bayaran ini adalah untuk menampung kos makan yang mencecah RM 660 sehari.

Salah seorang AJK masjid Ar Rahman telah bersetuju untuk menaja makanan untuk peserta kem ini untuk selama 5 hari.Ini telah dapat menjimatkan kos kira-kira RM3000.Setiap hari peserta kem mendapat makan sebanyak 3 kali sehari.
Di sepanjang program , peserta sekolah rendah diminta menghafal surah-surah dari juzuk amma sebanyak yang mereka mampu dibawah bimbingan fasilitator.Manakala bagi peserta sekolah menengah pula mereka diminta menghafal surah sajadah, waqiah, yasin dan sebagainya.

Berbagai kerenah dan gelagat anak-anak ini dapat dilihat.Sungguhpun begitu kesungguhan mereka sangat dikagumi.Peserta hadir seawal jam 7.30 pagi kemudian terus menunaikan solat tahiyatul masjid.Selepas itu mereka beramai-ramai akan menunaikan solath dhuha dan membaca al mathurat sebelum memulakan hafalan masing-masing.

Dedikasi dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Cik Wahida dan para fasilitator merupakan kunci utama kejayaan kem ini.Setiap hari Cik Wahida memberi taklimat kepada peserta serta memantau perjalanan program.Setiap peserta dibahagikan mengikut kumpulan seramai 10 orang bagi sebuah kumpulan.

Bagi mengelakkan kebosanan, peserta kem ini juga mengisi slot di sebelah petang dengan bermain futsal di gelanggang bersebelahan masjid dan melakukan aktiviti riadhah yang lain.Selain itu , untuk dua hari terakhir setiap halaqah mempersembahkan persembahan masing-masing dan dihakimi oleh para hakim.Persembahan murid berkisar tentang aktiviti harian, solath, menghafal dan lakonan.Ternyata peserta gembira dan dapat melepaskan tekanan menghafal.
Majlis penutup dijalankan pada 12 Disember yang lalu dengan menjemput ibu bapa untuk turut serta meraikan peserta kem ini. Jamuan tengah hari juga disediakan untuk para ibu bapa.
Majlis penutup disempurnakan oleh Penyelaras Masjid-Masjid Daerah Kuala Selangor iaitu Ustaz Mohamad Nor b Shahar. Sebelum itu, Tuan Nazir Masjid Ar Rahman dan Ketua Kampung Bukit Badong turut sama berucap dan menyampaikan hadiah kepada kumpulan-kumpulan yang memenangi dalam pertandingan yang diadakan.
Suatu yang menarik untuk disebut di sini adalah beberapa hari sebelum kem ini berakhir Tn Hj Mispan penduduk di Kg Bukit Badong ini menyerahkan sebanyak RM 3000 sebagai sumbangan peribadi beliau untuk kem ini. 5 hari selepas itu beliau kembali kerahmatullah.Mudah-mudahan Allah SWT menempatkan rohnya dikalangan para solehin.Program ini berakhir dengan jayanya dan menelan kos sebanyak RM11 000. Sesuatu yang tidak dijangkakan.

Berakhir kem tahfiz , pihak JAIS memberi kepercayaan kepada pihak Masjid Ar Rahman Bukit Badong untuk menjalankan pula program Daurah Kefahaman Islam. Kebimbangan AJK masjid akan kurangnmya bilangan peserta yang hadir memandangkan 10 hari anak-anak ini berada dalam kem tahfiz berakhir apabila seramai 106 orang peserta mendaftar.Peserta ini adalah merupakan peserta baru yang tidak bersama dalam kem tahfiz sebelumnya. Sambutan hangat oleh ibu bapa membayangkan bahawa program sebegini sangat-sangat dihajati oleh ibu bapa bagi memenuhi masa cuti yang panjang di akhir tahun bagi anak-anak mereka.

12/08/2009

12 ladtop dilarikan perompak !!

. Pagi ahad yang lalu, kira-kira jam 5 pagi , 4 orang perompak berjaya memecah masuk ke SMK Rantau Panjang, Bestari Jaya. Sebelum berjaya memasuki ke sekolah tersebut, perompak mengikat 2 orang pengawal keselamatan yang bertugas sebelum masuk ke kawasan sekolah.
. Lokasi mereka adalah makmal komputer sekolah tersebut.Menurut guru ICT SMK Rantau Panjang, Cikgu Zubir b Zashali , 12 buah ladtop yang disimpan di dalam makmal tersebut telah dilarikan."Mereka terlebih dahulu menebuk pintu besi dan melarikan 12 buah ladtop"ujarnya.
Selepas itu, mereka memecah masuk pula ke PKG Rantau Panjang yang berkongsi bangunan dengan SMK Rantau Panjang dan berjaya melarikan sebuah webcam dan sebuah LCD projektor.
. 4 orang perompak itu berketurunan India dan dipercayai ada hubungan dengan kumpulan samseng 08 ataupun 36 yang bergiat aktif di sekitar sini.Dipercayai juga ada dalang yang terdiri daripada pelajar yang bersubahat sama melihat kepada modus operandi mereka.
Sekolah ini mempunyai pelajar berketurunan India sekitar 70 % yang terdiri dari beberapa buah estet di sekitar sini.Polis sedang menjalankan siasatan.

12/03/2009

Rahsia rumah reban ayam di Bukit Badong !!!

Inilah deretan rumah "reban ayam" terletak di jalan besar Kg Bukit Badong menuju Bestari Jaya yang menyakitkan mata memandang.Rumah Phua terletak di hujung sekali berwarna kuning menjadi pusat kegiatan judi haram di Bukit Badong.

Kereta pembeli nombor ekor yang singgah di rumah Phua disamping Honda City kepunyaan anaknya.

Sekali pandang macam rumah kongsi Indon, rupa macam reban ayam pun ada.Jangan terkejut jika dikatakan inilah pusat judi haram ( tak berlesen) Bukit Badong.Lokasinya betul-betul di sebelah kiri pagar masjid lama Kg Bukit Badong dan di tepi laluan utama ke Bestari Jaya dan Unisel.
Mungkin bagi yang tidak mengetahuinya, berasa pelik melihat lori-lori besar, kereta dan motosikal orang Melayu singgah berhampiran rumah itu.Tak lain, hasratnya hanya satu, membeli nombor ekor gelap di kedai Phua.
Aktiviti nombor ekor di kedai Phua ini sudah wujud berpuluh tahun lagi semasa deretan kedai ini belum diratakan separuh untuk memberi laluan kepada pembinaan jambatan di hadapannya.Aktiviti ini cukup rancak dan menjadikan kedai Phua cukup terkenal di kalangan penjudi.
Atas alasan inilah, Phua dan beberapa kerat peniaga Cina di sini enggan berpindah ke tempat lain walaupun rumah ini dibina di atas rizab jalan.Beliau bukannya tidak mampu, malahan kaya raya hasil tiket nombor ekornya, anaknya memakai kerta MPV , Hilux dan Honda Accord.Biarlah tinggal di rumah yang macam reban ayam sekalipun asalkan dapat bisnes nombor ekornya !
Pada masa aku mengambil gambar rumah ini, kebetulan sebuah van putih yang sarat dengan penumpang baru sahaja meninggalkan rumah ini.Kemudian singgah pula dua buah motosikal dan sebuah kereta .Pemandunya keluar dari kereta dan terus masuk ke rumah tersebut.Sedang aku asyik menghalakan kamera ke arah rumah itu, anak perempuannya keluar dan menghalakan kamera putihnya ke arah aku.Segera aku tinggalkan rumah itu, khuatir ada pulak samseng upahan mengejar aku pulak!
Harap JKKK dapat bertindak terhadap aktiviti ini dan merobohkan saja kedai yang menyemakkan mata memandang ni dan menjalankan aktiviti haram!!!

12/01/2009

Relevenkah keputusan UPSR 2009 ?

Tajuk di atas dipilih , setelah melihat perbandingan di antara beberapa buah sekolah dan berdasarkan perbincangan di kalangan pendidik.Di sekolah aku tahun ini , kemerosotan ketara jika dibandingkan dengan tahun-tahun yang lalu.Sedih juga rasanya , apatah lagi apabila mengenangkan apabila murid-murid yang aku beri motivasi dan kaunseling, tidak mencapai kejayaan seperti yang diharapkan.Rasanya tiada lebih atau kurang program yang dibuat sepertimana tahun-tahun lepas cuma hasilnya yang mengecewakan bagi tahun ini.
Sebagai perbandingan , sekolah aku 8 orang 5A, SK Ijok 6 orang, SK Jaya Setia 3 orang , SK Rantau Panjang 1 orang, SK Parit Mahang 3 orang. Itu sekolah kampung dalam daerah Kuala Selangor.Sekolah bandar dan elit di Kuala Selangor contohnya, SK Puncak Alam 98 orang 5A , Saujana Utama 58 orang rasanya dan SK Bandar Baru Kuala Selangor 24 orang kalau tak silap.Jauh beza pencapaian 5A sekolah kampung dan sekolah elit di daerah Kuala Selangor.

Yang menghairankan aku, semasa balik ke kg orang rumah di Kelantan baru-baru ini, apabila ditanya kepada anak sepupu yang bersekolah SK Berangan , sebuah sekolah kampung di dalam daerah Tumpat , yang calonnya budak-budak kampung yang comot,muka kering aje, boleh sampai 60 orang 5A .Sepupu yang membaca pun merangkak-rangkak boleh dapat 3B 2C .4A 1B tak usah ceritalah, berderet-deret !

Di daerah Kuala Selangor ini, ada sebuah sekolah kampung yang prestasi BI mencanak-canak sehingga 98 % sedangkan sekolah aku hanyalah 63 % aje.Dengar-dengar ada something wrong di sana !

Suatu kepelikan lagi, pemeriksa kertas BM mengeluh bahawa pemarkahan tahun ini begitu straight sepanjang bertahun-tahun menyemak penulisan UPSR hinggakan nak dapat 70 markah pun sakit.

Alih-alih apabila keluar result, hampit 70 % calon dapat A penulisan di sekolah aku. Ajaib !ajaib ! agaknya tahun ini, 65 markah dah dapat A !

Entahlah,aku ni orang kecik !Yang buat dasar orang atasan !Apapun tahniah kepada Farid Zuhdi, M Hazim, Kamal Alif, Nurul Ammira, Anis Najwa, Ain Farhana,Aisyah Khairudin dan Wan Nurul Afifah kerana berjaya menempatkan diri di kalangan mereka yang terbaik dari seluruh negara.



11/30/2009

Majlis Perkahwinan Binyamin al Hafiz

Majlis berlangsung tiga hari selepas Hari Raya Qurban baru-baru ini.Pengantin lelaki dalam perjalanan ke rumah pengantin perempuan di Pengkalan Chepa ,Kelantan dengan diiringi kaum keluarga dan handai taulan.

Saat yang paling mendebarkan bagi setiap lelaki yang bakal bergelar suami.Saat berdepan dengan tuan kadhi untuk upacara akad nikah.Mujur tak lenjun peluh pengantin kerana dengan sekali lafaz sahaja, sahlah beliau bergelar seorang suami.Cuma satu yang pelik kerana lafaz nikah tidak disertai dengan huluran tangan dan berjabat seperti biasa.Rasanya pertama kali aku melihat tuan kadi tidak menjabat tangan pengantin lelaki untuk upacara tersebut.Memang sunat tetapi diluar kebiasaan.
Majlis perkahwinan di rumah pengantin lelaki diiringi dengan hujan renyai-renyai di waktu pagi dan agak lebat di sebelah petang.Agaknya sebab sedap sangat suara pengantin lelaki menyumbangkan suara tu yang hujan turun hingga ke petang (gurau aje !) Di samping itu persembahan dikir barat turut diadakan.
Pengantin melayani profesor dan pensyarah dari Universiti Malaysia Kelantan yang datang mengucapkan selamat pengantin baru kepada pasangan ini.

Tu dia .... Pasangan Mohd Binyamin al Hafiz dan isterinya Wan Nor Azimah. Binyamin bertugas sebagai pegawai Pusat Islam di Universiti Malaysia Kelantan manakala isterinya sebagai pegawai kewangan di Jabatan Bendahari, UMK. Semoga berbahagia hingga ke anak cucu.
Ini dia perewang yang syahid setelah bertungkus lumus membasuh pinggan mangkuk pada masa majlis berlangsung.Style lena pun berbagai aksi membayangkan betapa letihnya mereka...Kesian , takpa selepas ini nanti giliran mereka pula menyusul sebagai raja sehari !

11/16/2009

PASTI AN NUR 2009

Pasti An Nur Kg Bukit Badong yang ditubuhkan 12 tahun yang lalu terus melangkah gagah mendepani cabaran.Bermula dengan hanya 18 orang pelajar pada tahun 1997 kini pelajarnya pernah mencapai sehingga lebih seratus orang pada satu sessi.Saat paling manis apabila pada tahun 2004 Pasti An Nur dinobatkan sebagai Pasti Terbaik Negeri Selangor.Pada tahun ini Pasti An Nur terus mengharumkan namanya apabila dinobatkan sebagai Juara keseluruhan Hari Bakat Pasti Daerah Kuala Selangor.Acara dilangsungkan di Perpustakaan Daerah Kuala Selangor dan perasmian penutup dijalankan oleh YB Dr Dzulkefly b Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor
Pasti An Nur juga tidak ketinggalan menjalankan sukaneka tahunan.Buat kali kedua ,pada tahun ini sukaneka tersebut dijalankan dengan penuh meriah di padang belia Bukit Badong.
Pada tahun ini juga Pasti An Nur menjadi tuan rumah kejohanan mini futsal dan bola jaring peringkat daerah Kuala Selangor.Pasukan futsal Pasti An Nur muncul juara manakala pasukan bola jaring menjadi naib juara setelah mengalahkan 17 buah pasti yang lain.Selain itu diadakan juga pameran motor antik dari persatuan peminat motor antik sekitar DUN Ijok Di peringkat negeri yang diadakan di padang UNISEL Bestari Jaya, Pasti An Nur berjaya melangkah ke separuh akhir sahaja.


Sebagai menutup tirai 2009, Pasti An Nur mengadakan majlis ikhtifal dan mini konvo di Dewan Bukit Badong.Majlis berlangsung dengan meriah.Selain upacara penyampaian hadiah , majlis diserikan lagi dengan persembahan nasyid,boria ,hafalan surah, sajak, bercerita dan yang menarik perhatian ibu bapa adalah pertandingan pakaian beragam.

Inilah dia, tenaga pengajar Pasti An Nur yang dedikasi.Tanpa mereka yang memperkenalkan A,B, C dan alif, ba, ta maka tidak akan adalah seorang doktor, arkitek, ingeneer dan sebagainya.Sekalung tahniah kepada Ustazah Zaleha, Ustazah Sharifah Noraini, Ustazah Rahimah, Ustazah Sarimah dan Ustazah Khairiah.

Bagi sessi persekolahan 2010, Pasti An Nur membuka sebuah kelas 4 tahun disamping 5 dan 6 tahun.12 tahun kewujudannya, Pasti An Nur berjaya menarik minat ibu bapa dari Loji Air Sungai Harmoni, Puncak Niaga dan Gamuda.Selain itu guru-guru dari SM Teknik, Bestari Jaya, SM Raja Muda Musa serta SK Bukit Badong adalah antara jumlah teramai yang menghantar anak mereka ke sini di samping penduduk Kg Bukit Badong sendiri. Tak mahal , yuran hanya RM30 sebulan disamping keistimewaannya mengadakan kelas Baca Cepat, Iqra, Tuisyen English dan Kelas Jawi sebagai kelas tambahannya.Oleh itu,jangan ragu-ragu lagi,ibu bapa yang berhampiran,silalah hantar anak anda ke Pasti An Nur bagi sessi 2010 nanti.

11/02/2009

MUHASABAH DIRI


Pidato Almarhum Profesor Zulkifli Muhammad di bawah ini sangat elok untuk direnungi dan dimuhasabah oleh setiap diri lebih-lebih lagi terhadap mereka yang memegang tampuk kekuasaan dan jawatan.
Mudah-mudahan boleh membawa ketenangan kepada jiwa-jiwa kita, kata beliau:

“Sekarang akhlak kita lembik, kebenaran kita ketepikan jika perut kita terancam dan kesucian kita korbankan jika kepentingan kita terlibat maka kita pun seperti sehelai bulu ayam yang halus yang dipermain-mainkan oleh angin nafsu dan keadaan hidup kita. Kita khianat bukan sahaja kepada orang lain tetapi juga kepada diri kita sendiri…….”

Kata Almarhum lagi (48 jam sebelum dipanggil oleh Allah swt)):
“Saya perlu memberitahu kepada saudara-saudara bahawa satu daripada syarat kejayaan bagi sesuatu turunan ialah KEIKHLASAN. Kita mungkin bodoh, mungkin jahil,mungkin tidak tahu apa-apa, mungkin tidak kuat. Tetapi kalau keikhlasan yang ada pada kita maka ada harapan cita-cita kita akan dapat kita laksanakan. Tetapi tidak ada gunanya kita cerdik, cerdas, pandai dan kuat, sekiranya kita tidak ikhlas kepada apa yang hendak kita perjuangkan.”