9/20/2009

ALBUM HARI RAYA !


Gambar kenangan di pagi aidil fitri bersama keluarga.Syed Amirul Husaini,aku,isteri,Syarifah Farhatun Syahira,Syarifah Fatin Ayuni dan Syed Azrul Hassani.

Berposing di aidil fitri, ini saya punya beras Azizi,bersama Ayuni, Nabila dan Najah.Seronoknya Ayuni beraya ...dapat makan kueh raya ,pakai baju raya dan dapat baaanyak duit raya !

Makan , makan , jangan tak bedal ketupat tu , lontong ada , rendang serati ada, macam- macam ada.
Ini team sepupu sepapat Kelate , semua muda-muda belaka, berposing dengan kopiah kelate hasil ciptaan sendiri.
Beraya beramai-ramai di rumah nenek.Seorang saje yang masih tinggal.Sebelah aku pun dah meninggal semuanya kecuali dua orang aje lagi mak sedara !

9/19/2009

Menjelang Aidil Fitri !

Perginya ke rahmatullah bapa saudara di Perak 3 hari menjelang hari raya.Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Menziarahi pusara ayah bonda yang sudah lama pergi.Bonda sejak tahun 1990 manakala ayah 1996.

Membakar lemang, antara sajian utama di hari raya apatah lagi di makan dengan rendang .


Amirul sempat menolong bapa saudaranya berniaga kopiah di pasar Tumpat.Laris macam goreng pisang panas .

Kesibukan membeli belah di pekan Tumpat.Berbagai juadah boleh didapati di sini.Kueh Kelantan ni sedap-sedap belaka.

Gotong-royong mengecat rumah menjelang hari raya.Semua nak cantik dan menarik di hari raya.






9/18/2009

Ucapan selamat Hari Raya dariku !!


Assalamualaikum,


Hari raya akan menjelang esok atau lusa. Saya ingin memohon ampun dan maaf sekiranya di dalam blog ini ada menyentuh peribadi seseorang, tersilap kata dan terkasar bahasa.Begitu juga kepada teman-teman sepergaulan semua serta sanak saudara.Terima lah kad raya siber ini sebagai pengganti diri.

Tahun ni saya balik beraya di Tumpat, Kelate .Perak dah balik sebelum raya ziarah kubur ayah bonda.Apa nak buat anak yatim kematu ... Balik Perak ayah cik pulak meninggal, tinggallah seorang aje lagi mak sedara !

Jemputlah datang ke rumah di Bukit Badong,seminggu lepas raya di Bukit Badong,Ijok. La ni nak beraya puas-puas kat bumi Serambi Mekah.Cadangnya raya pertama nak gi rumah Tuan Guru Nik Aziz, kalau ada kesempatan .

Semoga kita dipanjangkan umur dan akan berjumpa bulan Ramadhan pada tahun hadapan.Wallahu Alam.

9/14/2009

Ngudek Jenang & Sahur bersama MB dan Dr Dzulkefly

Banner qiamullail dan bersahur bersama Menteri Besar dan Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly b Ahmad yang dipasang di pagar masjid Kg Bukit Badong.

Meja utama serta banner program Ngudek Jenang di Laman Putra Kg Bukit Badong.Program ini juga dihadiri oleh masyarakat berketurunan India dan Cina dari Ijok dan Bestari Jaya.

Dr Dzul memberikan sedikit ucapan semasa program dilangsungkan.Beliau sangat teruja dengan program ini sehinggakan sanggup balik ke rumah beliau jam 1.30 malam dan datang semula untuk berqiamullail dengan membawa isteri beliau.

Suasana ceria semasa ngudek jenang dijalankan. 12 kawah memang penat untuk diselesaikan apatah lagi apabila jenang telah mula mengeras.Tak larat nak berdayung ....kena tukar syif !


Dr Dzul tidak ketinggalan mengacau dodol .MB juga merasai pengalaman mengacau dodol bersama penduduk kampung tapi jam 4 pagi.MB juga mengagih-agihkan dodol kepada hadirin yang setia menunggu. Tapi gambo takde sebab teman kat masjid dah.

Menteri Besar bersama Dr Dzul bersahur bersama penduduk kampung di pekarangan Masjid Ar Rahman Bukit Badong setelah selesai mengadakan qiamullail sebelum itu. Sempat berbual-bual dengan Ketua Kampung Bukit Badong , bertanyakan perkembangan terkini penduduk kampung.

Pendudukuk kampung sedang bersahur .Syukur ramai yang hadir semenjak dua menjak ini terutama selepas pertukaran AJK masjid yang baru , masjid lebih imarah.

Menteri Besar serta Dr Dzul sempat berdiskusi selepas subuh. Soalan penduduk kampung terutama tentang isu kuil di seksyen 23 Shah Alam , elaun imam yang masih tertangguh , isu penswastaan air ,serta tanah di Puncak Alam .MB juga menawarkan tiket percuma kepada penduduk sekitar DUN Ijok untuk menyaksikan bola sepak persahabatan di Singapore Oktober ini.Sesiapa berminat nak tengok bola sambil melancong ke Singapore , cepat-cepat hubungi pejabat MB di Ijok Utama.

Buat julung-julung kalinya program mengacau dodol atau dalam speaking koreanya Ngudek Jenang telah berjaya diadakan di Kampung Bukit Badong. Yang lebih terujanya apabila kehadiran dua orang personaliti penting di sini iaitu Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim beserta Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly b Ahmad.
Pada mulanya penganjur khuatir jika sekiranya program ini tidak mendapat sambutan tetapi apabila selesai terawih sekitar jam 10 malam, penduduk kampung dan sekitar Ijok berpusu-pusu datang dan memenuhi padang futsal di Laman Putra Bukit Badong.
12 kawah disediakan yang dikacau secara bergilir-gilir sehinggalah selesai lebih kurang jam 4 pagi.Suasana sangat meriah dengan kehadiran ibu bapa anak-anakkecil , tua dan muda yang bergotong royong mengacau dodol.Anak-anak pula mengambil kesempatan memasang pelita dan bermain mercun bagi memeriahkan lagi suasana pada malam itu.
Kehadiran Dr Dzul pada jam 11 malam memeriahkan lagi majlis.Begitu juga kehadiran MB sekitar jam 4 pagi tambah menggembirakan bocah-bocah yang mendayung dari malam hinggalah dinihari.MB juga berkesempatan mengagih-agihkan dodol pada para hadirin.
Selepas itu rombongan MB dan Dr Dzul bertolak ke masjid Bukit Badong untuk berqiamullail, bersahur dan seterusnya berdiskusi dengan penduduk kampung.
Kesimpulannya ..program ini sangat meriah dan akan diadakan lagi pada tahun hadapan !

9/10/2009

Mencari Malam Lailatul Qadar




Allah swt berfirman: “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Qur’an) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu ? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan.” (Al-Qadr:1-3)



Rasulullah saw bersabda: “Barangsiapa yang bangun dimalam Lailatul Qadar kerana keimanan dan keikhlasan, niscaya akan diampuni dosanya yang telah lalu.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)



Rasulullah SAW senantiasa mencari malam Lailatul Qadar dan memerintahkan sahabat untuk mencarinya. Beliau membangunkan keluarganya pada malam sepuluh terakhir dengan harapan mendapat malam Lailatul Qadar. Dalam Musnad Ahmad dari ‘Ubadah, Rasulullah saw bersabda,“Barangsiapa yang bangun sebagai usaha untuk mendapat malam Lailatul Qadar,lalu ia benar-benar mendapatkannya, niscaya akan diampuni dosa-dosanya yanglalu dan yang akan datang.”



Sejumlah salafussalih mandi dan memakai minyak wangi pada sepuluh malam terakhir untuk mencari malam Lailatul Qadar, malam yang telah dimuliakan dan diangkat darjatnya oleh Allah. Jika kita termasuk orang yang telah menyia-nyiakan umur, kejarlah segala yang terluput atas dirimu pada malam Lailatul Qadar ini. Sebab malam inilah sebagai pengganti umur, beramal padamalam ini lebih baik dari pada seribu bulan.




Malam itu datang pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, tepatnya pada malam-malam ganjil, dan lebih diharapkan lagi pada malam kedua puluh tujuh. Berdasarkan riwayat Muslim dari Ubay bin Ka’ab radhiallaahu anhu bahwa ia berkata: “Demi Allah, sungguh aku mengetahui datangnya malam itu. Yaitu pada malam yang Rasulullah memerintahkan kami untuk menghidupkannya, yaitu malam kedua puluh tujuh.”



Namun begitu, hendaknya kita tidak terlalu terpengaruh dengan hitungan malam ganjil atau tidak. Lakukanlah sepenuh kemampuan setiap malam-malam dari 10 terakhir bulan Ramadhan.


Semoga kita dikurniakan Allah swt termasuk hamba-hamba- Nya yang mendapat rahmat-Nya pada bulan ini.
Wallahu’alam

9/08/2009

Album Kenangan Motivasi Keluarga



3 hari menjelang puasa yang lalu Biro Pendidikan dan Modal Insan JKK serta PTRS Dun Ijok mengadakan program Motivasi Kekeluargaan di Dewan JKK Kg Bukit Badong.Kehadiran sangat memberangsangkan.Pendaftaran dibuat terlebih dahulu kerana pihak penganjur menyediakan cabutan bertuah berupa 20 buah buku-buku agama kepada peserta bertuah.

Peserta juga dijamu dengan santapan nasi ayam terlebih dahulu sebelum santapan rohani diberikan. Makan dapat , cenderahati dapat ,ilmu pun dapat.

Kehadiran yang sangat ramai memenuhi ruang di dewan tersebut terutama kaum ibu sangatlah menggembirakan pihak penganjur. Kehadiran dianggarkan seramai 200 orang ,ini kerana jumlah kerusi yang disediakan sebanyak 150 buah manakala ramai lagi yang berada di luar dewan kerana tidak cukup kerusi manakala kanak-kanak duduk di lantai.

Kerusi penuh sehinggalah ke bahagian belakang dewan.Ini menunjukkan komitmen ibu bapa terhadap pentingnya pembinaan keluarga bahagia sebagai asas kejayaan anak-anak.
Anak-anak yang ramai memenuhi dewan sehingga di dudukkan di bahagian depan dewan beralaskan tikar sangat teruja menonton slide show yang dipersembahkan oleh Ustaz Asraf Suarin Al Hafiz , motivator yang dijemput pada malam itu.

Ustaz Asraf Suarin Al Hafiz, Imam I Masjid Sultan Ibrahim Kuala Selangor banyak mengupas tentang peri pentingnya kehidupan ini berlandaskan ketaatan kepada Allah jika mahu mencapai kejayaan.

Suasana menjadi hening apabila anak-anak yang hiba memeluk ayah dan ibu mereka tatkala mengenangkan akan pengorbanan ayah ibu membesarkan mereka. Kasihnya ibu membawa ke syurga kasihnya bapa sanggup berkorban ...

Tangisan anak-anak kecil ini, membayangkan ketulusan hatinya memohon ampun atas dosa-dosa terhadap kedua ibu bapa . Bagaimana pula dengan anak-anak remaja ?

Semoga program ini dapat menyatukan hati anak-anak dengan ibu dan bapa , menjadi anak yang soleh , yang sentiasa mendoakan kedua orang tuanya dan berjaya dunia dan akhirat.

Bukan suatu yang mudah untuk sseorang anak menangis dan memeluk ibunya dihadapan orang ramai.Ia tidak mampu dibuat-buat, ia datang dari hati yang luhur serta jiwa yang bersih apatah lagi jiwa anak-anak yang masih kecil lagi.

Ketua Kampung Bukit Badong diminta untuk menenangkan anak-anak yang ibu atau ayahnya tidak hadir dalam program ini.Kalaulah ibu atau ayah anak-anak ini hadir , dapatlah anak-anak ini merasai akan kehangatan pelukan ibu atau ayah yang mungkin jarang-jarang untuk berbuat demikian ketika di rumah.
Kesimpulannya, program ini dapat menyuntik semangat baru kepada setiap hadirin agar meneruskan kehidupan berlandaskan peraturan dan panduan dari Allah SWT.

9/06/2009

Kapal Selam Pertama Malaysia Tiba !!!

KUALA LUMPUR -- Armada angkatan laut Malaysia kini boleh berbangga apabila kapal selam pertama Malaysia, KD Tunku Abdul Rahman tiba di pelabuhan Klang pukul 9:20 pagi 3 September. Kapal merapati di markas angkatan laut KD Sultan Abdul Aziz Shah di Pulau Indah.

Kapal elektrik bertenaga diesel itu turut dilengkapi torpedo dan misi anti kapal.perang"Beta harap kapal ini mampu melindungi negara ini dari ancaman, (khususnya) setelah hadirnya aset yang amat bernilai ini," titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin Kapal selam Scorpene itu mempunyai 32 anggota kru yang dipimpin komander Zulhelmey Ithnain.
Demi kelancaran pengoperasin kapal berteknologi tinggi seluruh kru telah menempuh pelatihan selama dua tahun dan empat tahun di Perancis. Peralatan tentera milik Malaysia itu merupakan satu dari dua kapal perang selam yang dipesan angkatan laut Malaysia kepada pembuat kapal di Eropah pada 2002. Masing-masing dibuat oleh pembuat kapal DNS yang bermarkas di Perancis dan Navantia dari Sepanyol. Projek kapal yang menimbulkan kontroversi itu menghabiskan dana hingga USD 900 juta

Apa pun aku tumpang gembira sama kerana anak saudara ku Leftenan Muda Meor Nurul Azmi adalah salah seorang pengendali kapal selam tersebut setelah berkursus selama dua tahun di Perancis !!

Rumah Wak Rof terbakar !!

Beginilah keadaan dapur rumah beliau yang terbakar.Keseluruhan dapur beliau tidak dapat digunakan lagi dan perlu dibaiki dengan segera apatah lagi dengan lebaran yang hampir menjelang.
Tn Hj Razali b Khormain, pengerusi masjid lama Bukit Badong dan pengerusi biro agama jkk Bukit Badong.Sabarlah wak ... ini adalah dugaan Allah , ada hikmahnya apatah lagi di ramadhan ini.

Tn Hj Rahman b Mutalib, pegawai penyelaras Pejabat Kerja Menteri Besar hadir untuk melihat keadaan rumah tersebut. Sebelum itu Tn Hj Misri, Pegawai Daerah Kuala Selangor juga hadir dan menyampaikan sumbangan sebanyak RM500. Pejabat Kerja Menteri Besar menyumbangkan sebanyak RM1000 kepada Tn Hj Razali.



Tenaga kerja Pejabat Menteri Besar, Hj Abd Rahman b Muharam, Jefry b Mejan dan saudara Suhaimi sedang berbincang dengan setiausaha jkk Kg Bukit Badong Tn Hj Daem dan saudara Baharudin bagi merangka bantuan yang akan dihulurkan.


Dalam masing-masing umat Islam menunggu di depan juadah untuk berbuka , rumah Tn Hj Razali Khormain , pengerusi masjid lama Bukit Badong terbakar ! Puncanya , ia terlupa nak menutup gas di dapur.Akibat panas yang terlampau , saluran gas tercabut dan menyambar atap rumahnya .Dalam kelam kabut tersebut, tabung gas dibaringkan .Rupa-rupanya , tindakan tersebut menyebabkan api merebak dengan cepat dan menyambar keseluruhan dapur rumah beliau.
Seluruh peralatan dapur beliau musnah termasuklah dua buah peti sejuk, almari, oven dan pinggan mangkuk.Kerugian dianggarkan RM 20 000. Sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan bolehlah menyalurkan sumbangan ke akaun MAYBANK RAZALI B KHORMAIN bernombor 112138012790 .Mudah-mudahan sumbangan kita dapat meringankan kesusahan beliau lebih-lebih lagi dalam menyambut Syawal yang hampir menjelang.

9/03/2009

Ramadhan @ Bukit Badong

Kehadiran bulan Ramadhan memeriahkan suasana bukan sahaja di masjid tetapi juga di kampung-kampung.Kewujudan PARAM dan BARAM ( Pasar Ramadhan dan Bazar Ramadhan) memudahkan penduduk kampung memilih juadah.Di Kg Bukit Badong juga , Dataran JKK menjadi tumpuan setiap tahun dengan pelbagai jenis juadah yang tersedia. Dapatlah tambah pendapatan untuk beli baju raya anak-anak dan juga kueh raya.

Di masjid pula Masjid Ar Rahman mengadakan majlis berbuka puasa untuk semua AJK masjid dan ahli keluarga.Semoga dengan itu akan lebih merapatkan hubungan sesama AJK dan akan lebih makmurlah masjid dan amanlah kampung. Kehadiran agak ramai kerana disamping AJK dan anak-anak , turut juga disertai ahli jemaah yang lain dan musafir yang tumpang berbuka sama. Majlis berbuka puasa diadakan setiap hari manakala seminggu sekali diadakan pula majlis seperti minggu lepas diadakan penyampaian bantuan untuk anak yatim dan juga majlis doa selamat sempena sambutan Bulan Kemerdekaan.


Tuan imam Masjid Ar Rahman, Ustaz Sariman Rejo begitu berselera menikmati hidangan nasi beryani kambing yang disediakan untuk semua. Jangan "belasah" sampai tak larat nak terawih dah la ya pak imam !

Majlis tadarus juga disemarakkan dengan adanya tadarus remaja yang dipimpin oleh Pengerusi Biro Belia Masjid Ar Rahman iaitu Cikgu Omar Zahran dan dibantu Tn Hj Kassim.
Tengok tu.. anak-anak kecil pun bersemangat bertadarus hingga jam 11.30 malam. Malulah kalau yang lebih berumur tak tadarus ya ...

Halaqah dewasa diketuai oleh imam Zainal Abidin dan disertai oleh Tn Nazir , Wak Raspan, saudara Abdul Shahar setiausaha masjid lama Bukit Badong serta Cikgu Sahardi. Imam 3 ini expert bab tarannum.Syahdu sungguh bacaannya .Tempat duduk kosong tu aku le ...


Inilah dinamakan kepimpinan melalui teladan. Ketua kampung Bukit Badong , Tn Hj Tairin bin Ahmad (berserban) bersama jemaah yang lain sama-sama bertadarus di sepanjang Ramadhan ini. Minggu lepas beliau sibuk menjelajah dari satu surau ke satu surau di Kampung Bukit Badong untuk bertemu dengan anak buahnya beserta memberi tazkirah di setiap surau yang dikunjunginya. Mudah-mudahan beliau terus diberi kekuatan oleh Allah untuk memimpin penduduk kampung ini.

Rehat sekejap selepas menunaikan fardhu asar .Sambil-sambil tu berbincang tentang perihal kampung dan aktiviti masjid sepanjang bulan Ramadhan ini.
Nak bukak puasa ada dua jam lebih lagi .....tak kan lapar kot ?


Inilah masjid Ar Rahman Bukit Badong yang menyatukan seluruh penduduk Bukit Badong.
Pernah dianugerahi gelaran Masjid Terbaik Negeri Selangor beberapa tahun yang lalu.Kalau lalu lalang dari Simpang Ijok untuk ke UNISEL atau ke Bestari Jaya singgahlah ke masjid yang tenang, indah dengan landskap yang cantik serta menyejukkan mata memandang.

9/01/2009

SELAMAT MENGHADAPI UPSR !!





Kepada semua murid tahun enam diucapkan Selamat Berjuang !

Baca betul-betul soalan tu... jangan tembak aje...tembak kalau kena takpe , kalau tak kena kan dah rugi ! Bacalah ape ape doa yang dah diberi tu..Mudah-mudahan dapat memberi kelapangan sedikit .

Tok Guru pesan kalau soalan susah ,baca " Yassir...Yassir...Yassir ..Ya Allah" banyak-banyak.Insyaallah lapang .Maknanya " permudahkan ...permudahkan... Ya Allah !

Okeylah nampak muka-muka kat atas tu konfiden je...sure boleh 5A.

Apa-apa pun jangan hampakan harapan mak ayah dan guru-guru....

Okey , Selamat Berjaya Semua !